Lima warden Penjara Taiping mengaku tidak bersalah cederakan banduan

TAIPING – Lima warden Penjara Taiping mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan mencederakan tiga banduan dalam insiden ‘rusuhan’ di penjara berkenaan pada Januari tahun lalu.

Tiga tertuduh iaitu Mohd Hairie Jumri, 40; Saiful Azman Mohamad Ibrahim, 44, dan Ahmad Rizal Razali, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret R. Prabakaran, manakala Muhamad Mustakhim Abdul Rahim, 40, serta Nor Hafiz Izwan Muhammad Jajam, 31, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hairie dan Saiful Azman didakwa sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan cota terhadap P. Jason Immanuel, 25, di Dewan B, Penjara Taiping antara jam 3 petang hingga 4 petang pada 17 Januari 2025.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama,yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Manakala Ahmad Rizal didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan V. Naveen Kumar, 32, pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Dalam prosiding berasingan, Muhamad Mustakhim dan Nor Hafiz Izwan turut didakwa bersama-sama mengikut Seksyen 323 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan terhadap G. Yugarajan, 30.

Mahkamah membenarkan Mohd Hairie dan Saiful Azman diikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan dua penjamin serta perlu melapor diri di balai polis setiap bulan, manakala Ahmad Rizal dibenarkan jaminan RM3,000. Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 September ini.

Bagi Muhamad Mustakhim dan Nor Hafiz Izwan, kedua-duanya dibenarkan diikat jamin RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 8 September ini bagi serahan dokumen.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farihah Adilah Fazial dan Nazura Azman, manakala tertuduh diwakili peguam Aqmarul Aqil Ismail serta Amirul Fairuzzeen Jamaluddin.

Media sebelum ini melaporkan Suhakam menjalankan siasatan awam berhubung dakwaan lebih 100 tahanan diserang kira-kira 60 warden ketika dipindahkan dari Dewan B ke Blok E Penjara Taiping pada 17 Januari 2025.

Insiden itu turut menyebabkan seorang tahanan, Gan Chin Eng, meninggal dunia, manakala seorang warden telah didakwa pada 19 Disember lalu mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan atas pertuduhan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada membunuh.

Related Posts

1,200 jerami gulung terbakar dalam gudang MADA

JITRA – Sebuah gudang yang menyimpan kira-kira 1,200 jerami gulung dan peralatan elektrik musnah dalam kebakaran di Pertubuhan Peladang Kawasan C2 Kerpan, Kampung Tempayan Pecah di Ayer Hitam, dekat sini…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sindiket minyak masak subsidi dijadikan minyak terpakai terbongkar

ALOR SETAR – Kegiatan seorang lelaki yang disyaki menjadikan minyak masak peket bersubsidi sebagai minyak masak terpakai terbongkar selepas sebuah premis, di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Hukuman rasuah perlu lebih tegas, bersifat mandatori – Ibrahim Ali

Hukuman rasuah perlu lebih tegas, bersifat mandatori – Ibrahim Ali

Mekanisme ala ISA wajar diwujudkan bagi mempercepat siasatan, tindakan rasuah

Mekanisme ala ISA wajar diwujudkan bagi mempercepat siasatan, tindakan rasuah

e-Invois bantu tingkat pematuhan, kukuhkan kutipan cukai

e-Invois bantu tingkat pematuhan, kukuhkan kutipan cukai

Duduk semeja dengan pengamal perundangan, lahirkan undang-undang lebih tegas

Duduk semeja dengan pengamal perundangan, lahirkan undang-undang lebih tegas

Putra sokong usaha kerajaan banteras rasuah, perkukuh integriti dan tatakelola

Putra sokong usaha kerajaan banteras rasuah, perkukuh integriti dan tatakelola

Pelan komprehensif tambah baik kawalan pintu sempadan negara diluluskan Jemaah Menteri

Pelan komprehensif tambah baik kawalan pintu sempadan negara diluluskan Jemaah Menteri