
KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan akan menilai semula kekerapan perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) sekiranya jumlah penumpang menunjukkan peningkatan sepanjang bulan pertama operasi.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, tempoh menunggu kira-kira 7.5 hingga lapan minit pada waktu puncak ketika ini ditetapkan berdasarkan reka bentuk operasi sedia ada.
Menurut beliau, kementerian akan meneliti terlebih dahulu corak penggunaan perkhidmatan LRT3 sebelum membuat sebarang keputusan untuk meningkatkan kekerapan tren.
“Dari segi reka bentuk operasi, jumlah tren yang disediakan pada masa ini membolehkan kekerapan sekitar 7.5 minit pada waktu puncak.
“Kita perlu melihat trend penggunaan terlebih dahulu. Sudah tentu apabila jumlah penumpang meningkat, kekerapan perkhidmatan boleh dinilai semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Pemandu Sihat dan Selamat (PSS) di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Anthony mengulas pandangan segelintir pengguna yang beranggapan tempoh menunggu sekitar lapan minit bagi perkhidmatan LRT3 masih agak lama, khususnya pada waktu puncak.
Katanya, kementerian akan memantau jumlah penumpang sepanjang bulan pertama operasi sebelum meminta Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) membuat penilaian terhadap jadual perjalanan tren sekiranya terdapat keperluan untuk menambah kekerapan perkhidmatan.







