
KOTA KINABALU – Usaha menangani kesesakan di Pelabuhan Kontena Sepanggar terus menjadi keutamaan kementeriannya dan menunjukkan perkembangan positif selepas beberapa langkah penambahbaikan diperkenalkan.
Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, pelaksanaan ‘Berthing Window Programme’ yang diperkenalkan sejak April lalu sebagai sebahagian daripada 10 langkah penyelesaian telah membantu mengurangkan kesesakan pelabuhan sehingga kira-kira 30 peratus.
“Atas komitmen kita, atas dedikasi kita melihat ini sebagai satu isu yang besar, saya telah banyak kali mengatakan isu Pelabuhan Kontena Sepanggar adalah prioriti keutamaan saya.
“Saya menubuhkan Task Force dan mempengerusikan sendiri Task Force ini melibatkan semua pihak termasuk industri, Persatuan Pengguna Pelabuhan, Persatuan Pemilik Kapal, Shipping Agent Association dan Sabah Freight Forwarding Association.
“Kita telah dapati pelaksanaan ini telah menyumbang kepada pengurangan kesesakan sehingga pada kadar yang disebutkan tadi,” ujarnya.
Tambah Ewon, kementeriannya juga akan membawa cadangan perluasan kawasan tambahan baharu ke kabinet negeri bulan depan bagi menyediakan lebih banyak ruang penyimpanan kontena dan menyokong pertumbuhan sektor perindustrian Sabah.
“Yakinlah di bawah kementerian saya, saya tidak duduk diam. Ini prioriti nombor satu saya di kementerian,” tegasnya.
Terdahulu, Ewon meluncurkan Program Aspirasi Kerjaya Pelaut Sabah 2026 anjuran Persatuan Pelaut Sabah sempena Sambutan Hari Pelaut Sedunia di sini, pada Khamis.






