
KUANTAN – Kerja baik pulih dewan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kempadang Perdana, dekat sini akan diberi keutamaan dan perkara itu bakal dibawa ke mesyuarat penuh Ahli Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dalam masa terdekat.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Majlis MBK, Fakhrul Anuar Zulkawi yang meninjau keadaan dewan berkenaan semalam.
Beliau berkata, satu laporan penuh mengenai keadaan struktur dewan tersebut akan dibawa ke mesyuarat MBK untuk tindakan susulan.
“Kita juga akan mengusahakan permohonan bantuan baik pulih melalui Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) di bawah Kementerian Ekonomi.
“Kalau kita tengok sendiri, memang dewan ini sudah lama tidak dinaik taraf dan bahagian yang memerlukan pembaikan segera supaya penduduk boleh menggunakannya dengan selamat untuk aktiviti kemasyarakatan, gotong-royong, kenduri dan program KRT,” katanya.

Dalam lawatan, Fakhrul Anuar meluangkan masa meneliti beberapa bahagian dewan yang uzur akibat faktor usia.
Antara yang perlu diberi perhatian adalah struktur bumbung dan lantai dewan, sistem pendawaian elektrik dan kemudahan asas lain.
Turut perlu diberi perhatian pihak MBK adalah isu penyelenggaraan pokok besar yang sudah berusia dan berisiko mendatangkan bahaya kepada penduduk sekitar.
“Komuniti KRT ini adalah tulang belakang kejiranan, sekiranya dewan pun tidak selesa, sukar untuk mereka menganjurkan aktiviti.
“Jadi, kita akan usahakan agar penyelenggaraan segera dapat dilaksanakan,” tambah beliau.



