
PUTRAJAYA – Parti Kancil pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli disifatkan sedang menuju kehancuran apabila terlalu ‘obses’ untuk mengkritik dan mengutuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding mengangkat isu kebajikan rakyat.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Dzul Hilmi Zainol berkata, kita tidak lagi mendengar formula Rafizi untuk membantu rakyat dan beliau langsung tidak memberi komen mengenai penurunan harga diesel yang diumumkan Perdana Menteri.
Menurut beliau, rakyat hari ini tidak memerlukan politik kebencian, fitnah dan dendam peribadi, sebaliknya rakyat mahukan penyelesaian kepada masalah kos sara hidup, peluang pekerjaan, pelaburan dan kestabilan negara.
“Apa yang kita lihat sejak kebelakangan ini ialah Rafizi dan Parti Kancil lebih banyak menghabiskan masa menyerang Perdana Menteri berbanding mengemukakan cadangan atau formula untuk membantu rakyat.
“Setiap hari yang kedengaran hanyalah kritikan terhadap Anwar tetapi rakyat masih tertanya-tanya apakah tawaran sebenar Parti Kancil kepada negara,” katanya menerusi kenyataan. Pada Rabu.
Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada Selasa mengumumkan untuk bertanding di 15 kerusi DUN pada PRN Johor akan datang.
Rafizi Ramli dalam satu kenyataan memberitahu, kerusi-kerusi berkenaan dipilih berdasarkan beberapa faktor penilaian yang dibuat pihaknya, termasuklah penerimaan penduduk setempat terhadap parti berkenaan.

Sementara itu, Dzul Hilmi berkata, apabila kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat termasuk mengurangkan harga diesel dan memperkukuhkan ekonomi, Rafizi memilih untuk terus bermain politik persepsi dan adu domba.
Beliau menjelaskan, ini menunjukkan keutamaan beliau bukan lagi penyelesaian, tetapi dendam politik yang bersifat peribadi.
“Politik kebencian mungkin boleh mencipta tajuk berita, tetapi ia tidak akan mengisi perut rakyat, tidak akan menurunkan kos hidup dan tidak akan membawa pelaburan ke negara ini malahan membuka peluang pekerjaan kepada anak muda.
“Saya ingin mengingatkan bahawa rakyat Malaysia adalah rakyat yang matang dan bijak. Mereka mampu menilai siapa yang bekerja untuk negara dan siapa yang hanya sibuk menyerang tanpa menawarkan formula.
“Hakikatnya, semakin kuat Rafizi menyerang Anwar, semakin menunjukan bahawa Rafizi ketandusan idea dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas untuk parti kancil. Politik bukan tentang siapa paling kuat menjerit, tetapi siapa mampu berjuang demi rakyat,” katanya.






