
POLITIK persepsi dijangka terus menjadi faktor penting yang mempengaruhi keputusan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, terutama dalam era media sosial yang mempercepat penyebaran maklumat serta pembentukan sentimen awam.
Pensyarah Kanan Sains Kemanusiaan Kolej Profesional MAIWP, Dr Mohamad Fitri Mohamad Yusoff berkata, dalam landskap politik semasa, persepsi sering kali lebih berpengaruh berbanding fakta apabila rakyat membuat penilaian terhadap parti atau pemimpin politik.
Beliau berkata keputusan pengundi hari ini bukan sahaja dipengaruhi oleh pencapaian kerajaan atau manifesto parti, sebaliknya turut dibentuk oleh naratif yang berkembang menerusi media, media sosial dan persekitaran politik semasa.
“Pengalaman politik negara sejak beberapa tahun kebelakangan membuktikan isu bangsa, agama dan institusi raja terus menjadi modal politik sangat berkesan dalam membentuk sentimen rakyat. Polemik penggunaan kalimah Allah, isu sekolah vernakular, perdebatan mengenai hak istimewa Melayu serta pelbagai isu menyentuh kedudukan institusi diraja sering menjadi bahan perdebatan politik yang mencetuskan reaksi emosi rakyat.
“Begitu juga isu ekonomi. Langkah rasionalisasi subsidi diesel, pelaksanaan subsidi bersasar, peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta peningkatan kos sara hidup sering dieksploitasi pelbagai pihak untuk membentuk persepsi bahawa kerajaan gagal memahami kesusahan rakyat. Hakikatnya, sebahagian besar dasar berkenaan mempunyai rasional ekonomi tersendiri, namun dalam politik, persepsi sering mengatasi penjelasan teknikal.
“Politik sering dikatakan sebagai seni mendapatkan sokongan rakyat melalui idea, dasar dan kepemimpinan. Namun dalam realiti politik moden, persepsi sering lebih berpengaruh daripada fakta. Apa dipercayai rakyat kadangkala lebih menentukan keputusan mereka berbanding apa sebenarnya berlaku,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohamad Fitri berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap membuktikan persepsi rakyat sedang berhadapan tekanan ekonomi, kos sara hidup serta subsidi diesel menjadi antara naratif utama dimainkan sepanjang kempen, walaupun terdapat pelbagai faktor mempengaruhi keputusan pilihan raya berkenaan.
Menurutnya, walaupun banyak dasar kerajaan mempunyai justifikasi ekonomi yang jelas, persepsi negatif terbentuk sering mengatasi penjelasan teknikal yang diberikan kepada masyarakat selain emunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kandungan digital yang dimanipulasi menambah cabaran kepada parti politik kerana maklumat tidak tepat boleh disebarkan dengan cepat sehingga mengelirukan pengundi.
“Fenomena ini menjadikan pengurusan persepsi semakin rumit menjelang pilihan raya. Semua parti politik yang bakal bertanding dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan perlu lebih berhati-hati dalam mengurus komunikasi politik mereka.Keghairahan menunjukkan kekuatan parti tidak seharusnya menyebabkan rakyat melihat gabungan politik sebagai tidak stabil atau berpecah-belah.
“Pemimpin politik juga perlu mengelakkan retorik yang boleh menimbulkan ketegangan kaum dan agama semata-mata untuk meraih sokongan jangka pendek. Sejarah menunjukkan politik yang terlalu bergantung kepada sentimen identiti akhirnya boleh menjejaskan perpaduan sosial dan kestabilan negara,” katanya.

Apa yang penting, Mohamad Fitri berpandangan, parti politik perlu mengalihkan tumpuan kepada persaingan idea dan dasar berikutan pengundi ketika ini semakin menilai kemampuan parti menawarkan penyelesaian terhadap isu pekerjaan, pendidikan, kos sara hidup, perumahan, keselamatan sosial dan pembangunan ekonomi.
Beliau memaklumkan, kedua-dua pilihan raya itu bakal menjadi ujian penting kepada semua parti politik dalam membaca sentimen rakyat susulan suasana politik semakin kompleks yang kemenangan tidak semestinya berpihak kepada parti paling lantang bersuara atau agresif menyerang lawan namun mereka yang berjaya mengurus persepsi rakyat tanpa mengorbankan fakta, integriti dan keharmonian masyarakat.
“Dalam suasana politik semakin kompleks, kemenangan tidak semestinya berpihak kepada parti paling lantang bersuara atau paling agresif menyerang lawan. Sebaliknya, kemenangan mungkin menjadi milik parti yang paling berjaya mengurus persepsi rakyat tanpa mengorbankan fakta, integriti dan keharmonian masyarakat.
“Sesungguhnya, persepsi adalah realiti politik yang tidak boleh dipandang ringan. Namun persepsi dibina atas asas fakta, kejujuran dan tanggungjawab jauh lebih bernilai daripada persepsi dibentuk melalui manipulasi emosi dan eksploitasi sentimen.
“Menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan, semua parti politik perlu menyedari bahawa setiap kenyataan, tindakan dan strategi yang diambil akan membentuk persepsi pengundi. Dalam politik, persepsi yang salah bukan sahaja boleh menjejaskan parti, malah mampu menentukan masa depan sesebuah kerajaan,” katanya
.


