
JOHOR BAHRU – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa terdapat sesuatu yang “tidak kena” dalam UMNO Johor susulan pengumuman senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.
Puad berkata, beliau akan membuat satu pengumuman penting pada 27 Jun ini berhubung perkembangan terkini dalam UMNO Johor yang disifatkannya sebagai membimbangkan.
“Saya akan membuat pengumuman penting pada 27 Jun 2026.
“Perkembangan terkini UMNO Johor merisaukan. Saya tidak akan menoleh ke belakang walaupun saya hanya insan kerdil,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada hari ini.
Sebelum ini, Puad mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada PRN Johor kali ini atas faktor usia.
Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada golongan muda yang terlatih dan berpendidikan untuk meneruskan perjuangan parti.
“Saya telah mengumumkan melalui Facebook enam hari lalu bahawa saya tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit kerana faktor usia.
“Saya menegaskan orang muda terlatih dan berpendidikan semestinya diberi peluang, tetapi tidak diindahkan,” katanya.
Puad berkata, beliau telah melakukan apa yang disifatkannya sebagai “keberanian politik” demi meneruskan perjuangan yang diperjuangkannya selama ini.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan perkara yang didakwa tidak kena dalam UMNO Johor serta bentuk pengumuman yang akan dibuat pada 27 Jun nanti.
Kenyataan itu mencetuskan tanda tanya mengenai perkembangan terkini dalam UMNO Johor menjelang PRN Johor 2026.
Foto: Astro Awani






