
SIBU – Mangsa yang terlibat dengan kebakaran di Kampung Hilir pada Ahad lalu ditawarkan tempat tinggal sementara di flat Rantau Panjang Sibu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee menjelaskan beliau mengadakan perbincangan bersama Ketua Isi Rumah (KIR) dalam usaha mencari tempat tinggal yang selesa.
“Jika penduduk memilih untuk tidak tinggal di Rantau Panjang, mereka boleh mencari rumah sewa. Bagi tempoh jangka panjang, beliau akan berbincang dengan kerajaan mengenai penyediaan perumahan di Kemuyang.
“Beberapa keluarga yang terlibat sebelum ini digalakkan untuk mendaftar jika mereka ingin berpindah ke Kemuyang, terutama sekali bagi mereka yang mendiami kawasan berhampiran tebingan sungai,” katanya semasa lawatannya ke Pusat Pemindahan Sementara di Surau Darul Ma’wa yang menempatkan 69 mangsa kebakaran.
Beliau menekankan keutamaan buat saat ini adalah membantu mangsa kebakaran mencari tempat tinggal.
Selain itu, beliau turut menjelaskan mengenai sumbangan tunai mesti melalui ketua kampung dan diserahkan ke Tabung Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (Sibu DDMC) yang dikendalikan oleh Pejabat Residen Sibu bagi memastikan pengurusan dana yang betul.
Justeru itu, beliau menekankan hanya individu yang dilantik dibenarkan mengumpul sumbangan tunai untuk mangsa kebakaran.
“Namun, jika rakan atau ahli keluarga ingin memberi sumbangan secara langsung kepada seseorang, ia mengikut budi bicara mereka. Bagi mereka yang ingin menyumbang, sila sumbangkan melalui jawatankuasa rasmi,” tambahnya.
Sumbangan dalam talian juga boleh dibuat ke akaun rasmi Sibu DDMC dengan butiran tersedia di laman Facebook mereka.
Pusat Khidmat Konstituensi Nangka juga memperuntukkan RM35,000 untuk membantu mangsa kebakaran.







