
KOTA KINABALU – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) akan menganjurkan program KK Cleanup Day 4.0 : Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar pada 2 hingga 4 Oktober depan.
Menurut DBKK menerusi siaran di Facebook rasminya KK Cleanup Day 4.0 yang bakal berlangsung tiga hari itu adalah program kebersihan melibatkan semua kampung di kepulauan yang didaftarkan dalam rekod DBKK.
“Bagi menguar-uarkan inisiatif kebersihan ini, JPSP telah mengadakan sesi taklimat dan lawatan tapak di semua kampung yang terlibat iaitu Kampung (Kg) Lok Urai, Kg Kasuapan, Kg Pulau Gaya Asli, Kg Lobong dan Kg Torong Logong di Pulau Gaya serta Kg Pulau Sepanggar pada Rabu.
“Sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan diharapkan program ini mampu memberi impak positif kepada masyarakat seterusnya meningkatkan kesedaran untuk melupuskan sampah dengan bertanggungjawab,” kata kenyataan itu.
Justeru, warga bandar raya diseru untuk bersama-sama menyokong program ini dengan cara melaksanakan aktiviti pembersihan persekitaran rumah masing-masing.
Katanya, ia adalah bagi mencapai matlamat kelestarian alam dan kebersihan kawasan seluruh bandar raya Kota Kinabalu.






