
PETALING JAYA – Masalah sebenar negara bukanlah perbezaan kaum atau agama tetapi rasuah, penyelewengan dan hasutan kebencian.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbuatan buruk itu tidak boleh diterima sama sekali.
“Saya percaya kepimpinan bukan soal kedudukan atau kemegahan. Ia adalah tanggungjawab untuk berkhidmat dengan ikhlas, menjaga kepentingan rakyat dan melakukan yang terbaik demi negara tercinta.
“Kekuatan Malaysia terletak pada kemampuan rakyatnya untuk hidup bermuafakat, saling menghormati dan bergerak ke hadapan sebagai satu bangsa yang berkongsi cita-cita serta masa depan yang sama,” katanya menerusi media sosial pada Ahad.
Anwar yang baru sahaja pulang dari Rusia dan Turkmenistan turut menyatakan beberapa pertemuan penting itu demi memastikan masa depan negara terus terjamin, khususnya dalam aspek tenaga tatkala dunia berdepan pelbagai ketidaktentuan dan cabaran baharu.
“Saya tiba di tanah air sekitar jam 3.30 pagi sebelum meneruskan tugasan di Pulau Pinang dan seterusnya ke Seremban.
“Keletihan itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan amanah untuk memastikan anak-anak kita mewarisi sebuah negara yang aman, stabil dan mempunyai masa depan yang lebih baik,” katanya.






