
SHAH ALAM – Seramai 5,000 rakyat Selangor yang kehilangan pekerjaan tahun ini bakal dibantu untuk membina kerjaya baharu dalam bidang keusahawanan menerusi pelaksanaan Program Transisi Kerjaya PLATS dengan peruntukan RM4 juta.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program itu membantu golongan terjejas akibat hilang sumber pendapatan sekali gus membuka peluang kepada mereka yang berminat memulakan perniagaan sendiri.
Menurut beliau, daripada 10,000 warga Selangor yang kehilangan pekerjaan tahun ini, sebanyak 5,000 tempat disediakan untuk menyertai program berkenaan.
“Peserta akan diberikan bantuan data internet selama 12 bulan bagi membolehkan mereka mengakses platform digital, mengikuti modul latihan serta memohon pembiayaan untuk memulakan perniagaan,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Selain bantuan internet, setiap peserta turut menerima elaun perjalanan bagi membantu mengurangkan beban kewangan sepanjang mengikuti latihan dan program pembangunan keusahawanan tersebut.
Amirudin berkata, peserta akan dibimbing melalui latihan serta strategi perniagaan yang dikendalikan di bawah pengurusan PLATS sebelum diberikan akses kepada ekosistem perniagaan yang lebih luas.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri bukan sahaja memberi tumpuan kepada penciptaan peluang pekerjaan, malah mahu memperkasakan rakyat melalui bidang keusahawanan sebagai salah satu jalan meningkatkan taraf hidup.
“Kerajaan negeri akan menyediakan laluan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan atau berhasrat menjadi usahawan untuk memperoleh pendedahan kepada strategi asas keusahawanan dan membangunkan perniagaan sendiri,” katanya.
Program Transisi Kerjaya PLATS merupakan antara inisiatif yang diumumkan di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2, yang bertujuan membantu rakyat serta sektor ekonomi negeri berdepan cabaran ekonomi semasa dan kesan ketidaktentuan global.





