
KUALA LUMPUR – Walaupun kesalahan seperti pemasangan aksesori pelindung cahaya matahari atau ‘sunshade’ boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada, namun ia tidak menjadi keutamaan pihak berkuasa setakat ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keutamaan pihak berkuasa adalah terhadap kes-kes kritikal yang boleh mendatangkan atau menjejaskan keselamatan orang awam khususnya pengguna jalan raya.
“Ada banyak (kesalahan jalan raya) tetapi lebih banyak perkara kritikal terhadap keselamatan (yang menjadi keutamaan JPJ). Ia bukan tidak penting tetapi perkara-perkara sebegini bukan keutamaan.
“Keutamaan kita adalah seperti lumba haram, pemandu mabuk, memandu secara haram, rempit yang membahayakan orang lain. Kita memang ada peraturan itu (terhadap tindakan memasang ‘sunshade’) tetapi tidaklah sehingga menakut-nakutkan orang lain.
“Sekarang juga cuaca panas, jadi faham,” katanya kepada media pada taklimat khas media berhubung Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2025, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu larangan penggunaan ‘sunshade’ kerana boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya disebabkan boleh mengganggu pandangan dan keselamatan sewaktu pemanduan.
Terdahulu, netizen turut mempersoalkan kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menjelaskan pemasangan itu adalah satu kesalahan sekiranya tidak mengikut spesifikasi agensi itu dan boleh disaman sehingga RM300.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, JPJ tidak pernah mengeluarkan saman terhadap mana-mana pengguna kenderaan yang memasang ‘sunshade’ setakat ini.
“Bagaimanapun, sekiranya anda tanya pengarah JPJ negeri, dia mesti akan jawab. Dia tidak boleh jawab peraturan ini tiada kerana ia sememangnya ada. Itulah situasi sebenar isu (sunshade) ini,” katanya.







