
KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperkemaskan persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang menerusi pengukuhan jentera parti di semua kawasan Parlimen di Sabah.
Pengerusinya, Datuk Hajiji Noor berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS pada Khamis.
Menurutnya, antara langkah yang dipersetujui ialah pelantikan enam pengerusi zon bagi menyelaras gerak kerja serta memantau tahap kesiapsiagaan bahagian-bahagian parti mengikut kawasan masing-masing.
“Pengerusi zon berkenaan turut bertanggungjawab melaksanakan naziran dan menyediakan laporan berkaitan persiapan jentera di peringkat bahagian,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini pada Khamis.
Enam zon yang diwujudkan melibatkan semua kawasan Parlimen di Sabah dengan setiap zon diketuai pemimpin kanan gabungan berkenaan.
Hajiji sendiri mengetuai Zon 1 yang merangkumi Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran.
Zon 2 yang meliputi Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan dipengerusikan Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Masidi Manjun.
Zon 3 yang merangkumi Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang pula diketuai Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman.

Bagi Zon 4 yang melibatkan Ranau, Keningau, Pensiangan dan Tenom, ia dipengerusikan Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Zon 5 yang merangkumi Sandakan, Batu Sapi, Libaran, Beluran dan Kinabatangan dipimpin Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin.
Sementara itu, Zon 6 yang melibatkan Tawau, Kalabakan, Lahad Datu dan Semporna diketuai Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah.
Hajiji berkata, semua presiden parti komponen akan mengetuai zon masing-masing sebagai sebahagian daripada persiapan awal menghadapi PRU.
“Walaupun tempoh Parlimen hanya akan berakhir pada penghujung tahun depan, GRS perlu bersedia lebih awal bagi memastikan jentera parti berada pada tahap terbaik.
“Aspek kerjasama dan perpaduan dalam kalangan parti komponen GRS serta rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan di Sabah turut diberi perhatian,” kongsinya.
Tegasnya, perkara itu penting bagi memastikan gabungan berkenaan mampu mencapai kemenangan besar pada PRU akan datang


