STPM 2025: ‘Cari rezeki halal, jangan tinggal solat’ – Bapa pelajar cemerlang

KANGAR – Pesanan supaya mencari rezeki yang halal dan tidak meninggalkan solat menjadi pegangan seorang bapa dalam mendidik anak-anak sehingga berjaya mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Seorang nelayan, Abdullah Mat Daud, 54, berkata, prinsip itu sentiasa diterapkan kepada anak-anak meskipun dia hanya memperoleh pendapatan yang tidak menentu hasil menjual ikan dan turun ke laut mencari rezeki.

“Sejak kecil saya berpesan kepada anak-anak supaya cari rezeki yang halal, jangan tinggal solat dan sentiasa jaga hati daripada perkara yang tidak baik.

“Bagi saya, kejayaan bermula daripada rezeki yang halal dan keberkatan dalam kehidupan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Abdullah, pendapatannya hanya sekitar RM1,000 sebulan selepas ditolak pelbagai perbelanjaan keluarga, malah ada kalanya dia memperoleh sekitar RM60 sehari bergantung kepada hasil tangkapan.

“Bukan mudah membesarkan anak-anak pada zaman sekarang. Setiap hari kena hantar dan ambil mereka ke sekolah, namun saya bersyukur segala penat lelah itu berbaloi.

“Apabila melihat kejayaan anak, semua kesusahan yang dilalui terasa berbaloi,” ujarnya.

Anaknya, Nur Zaitee Abdullah, 20, merupakan antara pelajar yang berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam STPM 2025.

“Saya tidak sangka dapat memperoleh PNGK 4.00 walaupun memang meletakkan sasaran itu sejak awal. Pada semester pertama saya sangat fokus kerana STPM tidak boleh dilengah-lengahkan.

“Apa sahaja tugasan yang diberikan guru akan saya siapkan segera dan saya juga bangun seawal pukul 3 pagi untuk mengulang kaji pelajaran,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Mohammad Shukor Man, 52, berkata, kesukaran hidup sebagai nelayan tidak pernah mematahkan semangatnya untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik.

“Kalau musim ribut, hendak dapat RM100 atau RM200 sehari pun susah. Kami tidak pandai belajar seperti anak-anak sekarang, jadi harapan kami hanya mahu melihat mereka berjaya dalam pelajaran,” katanya.

Isterinya, Siti Noor Saniza Saad, 51, berkata, anak mereka, Nur Farahhanna Mohammad Shukor, 20, bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran malah rajin membantu keluarga menguruskan adik-adiknya dan menjemur ikan kering ketika berada di rumah.

“Saya bukan seorang ulat buku. Banyak cabaran yang saya hadapi termasuk sikap suka bertangguh, namun saya banyak bergantung kepada kumpulan belajar dan kelas tambahan guru untuk mencapai sasaran PNGK 4.00.

“Saya juga bercita-cita menjadi guru dan mahu melanjutkan pengajian dalam bidang Geografi di Universiti Sains Malaysia,” kata Nur Farahhanna.

Related Posts

Petronas santuni 200 golongan memerlukan sempena Gawai

MIRI – Seramai 200 individu di sekitar daerah ini menerima sumbangan keperluan harian menerusi Program Petronas Memacu Kehidupan Gawai 2026 bagi meringankan kos sara hidup. Sumbangan tersebut diselaraskan dengan kerjasama…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Tiada siapa dipinggirkan, bukti Selangor hargai pengorbanan ibu

SHAH ALAM – Peningkatan peruntukan Program Mama Kerja kepada RM10 juta membolehkan 10,000 ibu bekerja di seluruh negeri menerima manfaat. Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Petronas santuni 200 golongan memerlukan sempena Gawai

Petronas santuni 200 golongan memerlukan sempena Gawai

Tiada siapa dipinggirkan, bukti Selangor hargai pengorbanan ibu

Tiada siapa dipinggirkan, bukti Selangor hargai pengorbanan ibu

25 penduduk Kampung Sungai Seluang Bawah dipindahkan ke PPS

25 penduduk Kampung Sungai Seluang Bawah dipindahkan ke PPS

Aktiviti sukan platform lahirkan generasi sihat

Aktiviti sukan platform lahirkan generasi sihat

Rapid KL lancar pas bulanan digital RM150, perjalanan tanpa had selama 30 hari

Rapid KL lancar pas bulanan digital RM150, perjalanan tanpa had selama 30 hari

Sidang Parlimen bermula Isnin, had tempoh PM dan pemisahan kuasa AG jadi tumpuan

Sidang Parlimen bermula Isnin, had tempoh PM dan pemisahan kuasa AG jadi tumpuan