
KOTA SAMARAHAN – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg berkata, penanaman rumput Napier berpotensi dijadikan sumber biojisim untuk menjana tenaga boleh diperbaharui.
Menurut beliau, penanaman rumput tersebut perlu dilakukan di ladang sagu jika keadaan tanah sesuai.
“Saya melihat ini sebagai peluang untuk pekebun kecil menjana pendapatan,” kata beliau.
Tambah beliau, inspirasi kajian ini timbul setelah setelah syarikat di Bintulu berjaya menghasilkan 2.5 tan pelet berasaskan rumput yang dijual kepada loji tenaga di United Kingdom dengan hanya menggunakan 800 hektar tanah.
Abang Johari juga mencadangkan kerjasama antara Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR) dan Institut Penyelidikan Gambut Tropika Sarawak (STROPI) dalam membina jalan bertingkat di kawasan tanah gambut untuk melindungi struktur tanah dan mengurangkan kos penyelenggaraan.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Simposium Sago Antarabangsa Ke-15 di Institut Penyelidikan Gambut Tropika Sarawak (STROPI) di sini pada Selasa.
Sementara itu, Abang Johari berkataz langkah strategik Sarawak meningkatkan sumber tenaga hijau mampu mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil dan membangunkan industri biojisim secara mampan.
“Kerajaan Sarawak juga komited dalam menyediakan dana untuk kajian ini,” ujar beliau.






