KUANTAN – Seorang wanita warga emas maut manakala suaminya mengalami sesak nafas selepas kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke dalam sungai ketika melalui jambatan Balok Makmur dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Paridah Dollah, 67, yang beralamat di Taman Inderapura, Jerantut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya, Abd Aziz Ahmad, 66, menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, pasangan suami isteri yang merupakan pesara, menaiki kereta Proton Saga BLM berwarna biru dari arah Balok Makmur menghala ke Seberang Balok.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam sungai.
“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suaminya dibawa ke HTAA untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, punca kemalangan akibat gagal mengawal kenderaan ketika melalui jalan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






