13,000 Rohingya direkodkan di Kelantan, keselamatan negeri terkawal

KOTA BHARU – Polis menganggarkan lebih 13,000 warga Rohingya berada di Kelantan ketika ini dengan pergerakan serta penempatan mereka sentiasa dipantau bagi memastikan keselamatan negeri kekal terkawal.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, seramai 5,373 etnik Rohingya direkodkan memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), manakala kira-kira 8,000 lagi dianggarkan tidak mempunyai dokumen berkenaan.

Beliau berkata, komuniti itu tidak ditempatkan di pusat penempatan khas sebaliknya tinggal secara berselerak dalam komuniti setempat terutama di Kota Bharu, Tanah Merah, Ketereh, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Mohd Yusoff berkata, pihak Cawangan Khas sentiasa memantau pergerakan mereka dan mengetahui lokasi serta jumlah warga Rohingya di sesuatu kawasan.

“Kebanyakan mereka yang memiliki kad UNHCR bebas tinggal di mana-mana,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, semalam.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, polis merekodkan 412 kes melibatkan 825 tangkapan warga Rohingya berbanding 277 kes dengan 723 tangkapan sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, kesalahan imigresen mencatatkan jumlah tertinggi dengan 384 kes membabitkan 789 tangkapan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Selain itu, sebanyak 16 kes melibatkan 21 tangkapan direkodkan bagi kesalahan penyeludupan migran, manakala lapan kes membabitkan lapan tangkapan bagi jenayah harta benda seperti curi, pecah rumah dan pencerobohan.

Bagi jenayah kekerasan pula, empat kes dengan tujuh tangkapan direkodkan sepanjang tempoh sama.

“Setakat ini tiada kes jenayah berat membabitkan komuniti Rohingya di Kelantan,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, kebanyakan tangkapan melibatkan cubaan memasuki Malaysia secara tidak sah melalui sempadan selain hasil operasi yang dijalankan di kawasan penempatan mereka.

Mengulas kebimbangan mengenai kewujudan ‘Mini Dhaka’ di negeri itu, beliau berkata keadaan masih terkawal dan polis tidak menerima sebarang laporan penduduk tempatan yang resah dengan kehadiran komuniti berkenaan.

Menurutnya, kebanyakan warga Rohingya bekerja sebagai buruh binaan, pekerja kebun dan melakukan kerja-kerja berat yang kurang mendapat sambutan dalam kalangan penduduk tempatan.

Beliau berkata, Malaysia terus menjadi destinasi pilihan warga Rohingya kerana faktor keluarga, peluang pekerjaan dan kewujudan komuniti mereka yang telah lama menetap di negara ini.

Dalam pada itu, polis mempunyai aplikasi khas bagi menyemak ketulenan kad UNHCR bagi mengelakkan penggunaan dokumen palsu ketika pemeriksaan dijalankan.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pelarian Rohingya supaya mematuhi undang-undang serta peraturan tempatan atau berdepan tindakan tegas.

Beliau berkata, walaupun Malaysia mengambil pendekatan berperikemanusiaan, golongan itu tetap tertakluk kepada sistem perundangan negara termasuk dalam aspek penggunaan premis dan pengendalian perniagaan.

Foto: Bernama

  • Related Posts

    Cadangan akar umbi belia Sabah jadi input Belanjawan Belia MADANI 2027

    PUTATAN – Keperluan fasiliti sukan, dana program belia, kos sara hidup dan peluang pekerjaan antara isu utama disuarakan golongan belia Sabah untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan Belia MADANI 2027. Timbalan Menteri…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca
    Polis buru suspek curi Hilux di Perumahan Bukit Ubi

    KUANTAN – Polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki mencuri sebuah Toyota Hilux berwarna putih di Lorong Bukit Ubi 59, Perumahan Bukit Ubi di sini, petang kelmarin. Kenderaan itu dilaporkan hilang…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca

    Perlu dibaca

    Cadangan akar umbi belia Sabah jadi input Belanjawan Belia MADANI 2027

    Cadangan akar umbi belia Sabah jadi input Belanjawan Belia MADANI 2027

    Menang pilihan raya bukan lesen guling Raja – Anwar

    Menang pilihan raya bukan lesen guling Raja – Anwar

    Laporan awal pengurusan dan tatakelola FELDA didedah minggu depan – Anwar

    Laporan awal pengurusan dan tatakelola FELDA didedah minggu depan – Anwar

    Hak mohon pengampunan milik setiap banduan, keputusan bukan di tangan kerajaan

    Hak mohon pengampunan milik setiap banduan, keputusan bukan di tangan kerajaan

    Anwar mahu dengar penjelasan Anthony sebelum putuskan peletakan jawatan

    Anwar mahu dengar penjelasan Anthony sebelum putuskan peletakan jawatan

    Perpaduan Melayu-Islam: Antara tuntutan agama dan kepentingan parti politik

    Perpaduan Melayu-Islam: Antara tuntutan agama dan kepentingan parti politik