
TUMPAT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merekodkan 104 kes dengan nilai rampasan hampir RM2 juta sepanjang pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) sejak 16 Mac lalu.
Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, diesel merupakan barang kawalan paling banyak disita melibatkan 17,308.40 liter daripada 26 kes, diikuti petrol sebanyak 15,127.50 liter membabitkan 53 kes.
“Jumlah kes dan rampasan menunjukkan penurunan hasil penguatkuasaan aktif serta kerjasama erat dengan agensi penguat kuasa lain.
“Masih terdapat pihak cuba menyeludup menggunakan laluan haram atau melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), namun pemeriksaan ketat berjaya mengawal kegiatan itu,” katanya.
Dalam operasi terbaharu kira-kira jam 7.52 pagi, seorang lelaki ditahan selepas disyaki melakukan pengisian berulang di sebuah stesen minyak di Kampung Terbak.
Pemeriksaan terhadap kenderaan jenis Proton Wira yang dinaiki suspek menemukan 120 liter petrol bernilai RM446.40, selain tangki yang diubah suai.
Hanif berkata, suspek dan stesen minyak terbabit pernah diambil tindakan sebelum ini atas kesalahan sama iaitu penyelewengan barang kawalan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan bagi tujuan melakukan kesalahan.
Stesen minyak pula dikenakan tindakan kerana melanggar Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 berkaitan jualan berulang.
Foto: Metro







