KEHADIRAN Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada program Reset yang diterajui Datuk Seri Hamzah Zainudin bukan sekadar memenuhi undangan politik biasa namun sebagai simbol dan mesej bahawa hubungan antara Pas dan Bersatu sedang memasuki fasa baharu yang mungkin mengubah landskap pembangkang negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Realitinya, Pas dan Bersatu masih dalam kerangka pembangkang di bawah naungan Perikatan Nasional (PN) tetapi apabila Pas memilih untuk bersama Hamzah yang disingkirkan oleh Tan Sri Muhyiddin dari Bersatu, bermakna Pas sudah sedia untuk berpatah arang ataupun mungkin sudah bersedia melupakan PN.
Apa yang menarik, Pas dilihat tidak lagi bersikap neutral dalam percaturan dalaman Bersatu.
Kehadiran Abdul Hadi pada pentas yang dikaitkan dengan Hamzah memberi gambaran bahawa Pas mungkin melihat tokoh itu sebagai aset politik yang lebih berpotensi untuk membina blok pembangkang baharu berbanding kepimpinan sedia ada Bersatu.
Antara faktor yang menyumbang kepada ketegangan hubungan Pas dan Bersatu ialah soal kepimpinan dalam blok pembangkang.
Pas kini berada dalam kedudukan yang lebih kuat berbanding beberapa tahun lalu.
Prestasi parti itu dalam pilihan raya menunjukkan peningkatan sokongan yang konsisten, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu dan anak muda.
Keadaan ini secara tidak langsung menjadikan Pas lebih yakin untuk memainkan peranan dominan dalam menentukan hala tuju pembangkang.
Bersatu pula berdepan pelbagai cabaran termasuk isu dalaman, kehilangan beberapa tokoh penting dan usaha untuk mengekalkan pengaruh di kawasan yang semakin kompetitif.
Perbezaan kekuatan ini menimbulkan persoalan mengenai siapa sebenarnya yang layak menjadi peneraju utama pembangkang.
Walaupun perkara itu jarang dibincangkan secara terbuka, hakikatnya ia menjadi antara faktor yang mempengaruhi hubungan kedua-dua parti.
Selain itu, terdapat juga perbezaan dari segi strategi politik. Pas cenderung mengekalkan identitinya sebagai parti Islam yang berpegang kepada agenda tersendiri.
Bersatu pula menampilkan imej yang lebih sederhana dan inklusif bagi menarik sokongan pengundi pelbagai latar belakang kaum dan agama.
Justeru, tindakan Pas boleh ditafsirkan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya Bersatu terus berdepan pergolakan dalaman yang berpanjangan susulan tidak mahu masa depan politiknya terikat kepada sebuah parti yang sedang bergelut dengan krisis kepimpinan dan kehilangan hala tuju yang jelas.
Lebih penting, Pas mempunyai rekod panjang dalam membina dan menukar pakatan politik mengikut keperluan semasa.
Parti itu pernah bersama dalam pelbagai gabungan termasuk Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, Muafakat Nasional dan PN.
Justeru, tidak mustahil Pas kini sedang menilai kemungkinan membentuk jajaran politik baharu yang lebih menguntungkan menjelang PRU16.
Sekiranya hubungan Pas dan Bersatu benar-benar menuju penghujung, kesannya bukan kecil.
PN yang selama ini bergantung kepada kekuatan gabungan kedua-dua parti bakal kehilangan faktor utama yang membolehkan mereka mencatat kejayaan besar pada PRU15 dan beberapa pilihan raya negeri sebelum ini.
Dalam politik, perpecahan selalunya memberi kelebihan kepada pihak lawan.
Jika Pas dan Bersatu gagal mencari titik persamaan, pihak yang paling mendapat manfaat ialah parti-parti Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika ini menikmati kelebihan dari segi kestabilan politik, pemerkasaan ekonomi dan kesepaduan gabungan Kerajaan Perpaduan.
Buat masa ini, mungkin terlalu awal untuk mengisytiharkan PN sudah berakhir. Namun, kehadiran Abdul Hadi di pentas Hamzah merupakan petunjuk bahawa sesuatu yang lebih besar sedang berlaku di belakang tabir.
Dalam politik, apabila sekutu mula memilih kem yang berbeza, kebiasaannya ia bukan lagi soal perbezaan pandangan, tetapi permulaan kepada perpisahan yang sukar dielakkan.
Persoalannya kini bukan sama ada hubungan Pas dan Bersatu sedang retak, tetapi sejauh mana keretakan itu mampu diselamatkan sebelum tiba gelanggang PRU16.
Jika gagal, PN mungkin hanya akan menjadi satu lagi episod dalam sejarah panjang pembentukan dan perpecahan pakatan politik negara.




