
Oleh: Nana Mohamad & Eveline B
KANOWIT – Masyarakat di kawasan Ngemah diseru supaya terus mengekalkan semangat perpaduan bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, semangat ‘berserakup’ (bersatu padu) perlu diamalkan secara berterusan oleh seluruh komuniti demi menjamin kestabilan dan kemajuan kawasan berkenaan.
Menurutnya, sebarang keputusan muktamad berhubung pemilihan calon bagi menghadapi PRN13 adalah di bawah bidang kuasa Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Ngiling Bidai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Sesanggau di Rumah Nasa @ Lika Anak Francis, Sungai Mapai, Jalan Nibong Tada pada Sabtu.
Dalam pada itu, Anyi memaklumkan bahawa pihaknya mengambil perhatian terhadap pelbagai permohonan yang dikemukakan oleh penduduk, termasuk projek membaik pulih atap dan keperluan Biro Wanita.
Katanya, kesemua permohonan berkenaan akan dipertimbangkan mengikut keutamaan serta peruntukan semasa yang tersedia.
Pada masa sama, beliau mengingatkan setiap kontraktor yang melaksanakan projek RTP supaya wajib hadir semasa majlis perasmian projek tersebut.
Beliau turut menggesa JKKK agar memahami prosedur permohonan RTP secara mendalam dan memastikan semua dokumen sokongan disediakan dengan lengkap bagi mengelakkan sebarang masalah semasa pelaksanaan kelak.
Menyentuh soal pendidikan, beliau memuji pencapaian cemerlang pelajar di kawasan terbabit apabila seramai 69 orang berjaya meningkatkan prestasi akademik dengan memperoleh sekurang-kurangnya 3A.
Mengenai hal pentadbiran pula, Anyi mengingatkan supaya proses pelantikan semula atau penggantian Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang tamat tempoh perkhidmatan diuruskan dengan teratur.
Sementara itu, Pemancha Charlie Salang berkata, KMKK akan menghadiri Konvensyen Kanak-kanak pada 15 Jun ini yang memberi tumpuan khusus kepada isu melibatkan kanak-kanak bawah umur.
Tegasnya, semua tuai rumah (ketua rumah panjang) diminta memantau penggunaan telefon pintar dalam kalangan golongan tersebut bagi membendung ancaman jenayah seksual.
Beliau turut mengingatkan para pemilik senjata api supaya menggunakan alat tersebut secara bertanggungjawab berlandaskan undang-undang, selain menyeru masyarakat agar menggunakan media sosial secara berhemah bagi mengelakkan penyebaran fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian komuniti.







