
PUTRAJAYA – Kerajaan memandang serius keresahan rakyat berhubung isu kebanjiran warga Rohingya dan aktiviti mereka di beberapa lokasi yang menjadi perhatian umum di negara ini terutama di kawasan Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, kebimbangan disuarakan rakyat tidak boleh dipandang ringan malah sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan menerusi tindakan susulan oleh agensi berkaitan.
Menurut beliau, isu yang tular di media sosial perlu ditangani secara proaktif kerana ia mempunyai kesan langsung terhadap ketenteraman komuniti dan persepsi rakyat sehingga menjadi keresahan di kalangan masyarakat awam.
“Secara jujur, saya faham kerisauan rakyat. Hari pertama saya dilantik (Ketua Pengarah JKOM), saya terus turun ke tiga pasar termasuk Selayang untuk melihat sendiri keadaan sebenar di sana.
“Malah semua isu yang tular di media sosial perlu diambil maklum kerana ia mencerminkan keresahan rakyat. Bila rakyat resah, komuniti juga resah.
“Sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), ini tugas kami adalah membawa perkara itu kepada pihak atasan untuk tindakan sewajarnya,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan, Albert Tei di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, pada Khamis.
Tambahnya, hasil lawatan dan maklum balas yang diterima berhubung perkara itu telah dibawa kepada perhatian beberapa kementerian termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Komunikasi serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Mohd Hisyamuddin yang turut dikenali sebagai Syam Ghaz berkata, tindakan awal juga telah diambil apabila PBT menjalankan pemeriksaan ke atas struktur yang didakwa dibina oleh warga asing dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang.
“Bagi saya kerajaan sangat memahami keresahan rakyat dan pada malam itu, saya turun bersama pihak polis ke lokasi yang tular namun keadaan sudah jauh berbeza serta tindakan penguatkuasaan sudah dilaksanakan
“Tindakan ini juga seperti seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beri signal jelas kita perlu lihat secara serius kebajiran warga asing berniaga di Malaysia sehingga menjejaskan pendapatan rakyat tempatan, khususnya bumiputera selain diselesaikan secara tuntas serta proaktif,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa semua agensi penguat kuasa bertindak tegas terhadap sebarang unsur salah guna kuasa atau rasuah yang boleh menjejaskan usaha menangani isu berkenaan.
Pada masa sama, beliau menegaskan JKOM akan terus memainkan peranan sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan dengan memastikan setiap isu yang membangkitkan keresahan masyarakat disampaikan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Semua isu yang tular di media sosial perlu kita ambil maklum. Itu tanggungjawab JKOM untuk membawa perkara ini kepada perhatian kerajaan,” katanya.






