
MIRI – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas tenggelam di Sungai Baram berhampiran Kampung Long Miri, Marudi, diteruskan memasuki hari kedua hari ini dengan melibatkan pelbagai agensi dan penduduk kampung.
Mangsa, Maxwell Laing Michael, 37, dilaporkan hilang pada petang 6 Jun ketika mandi di Sungai Baram bersama ahli keluarganya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang apabila mangsa berenang ke tengah sungai sebelum dilihat terkapai-kapai lalu tenggelam. Mangsa kemudiannya gagal dikesan dan tidak timbul semula di permukaan air.
Katanya, iteri mangsa, Susana Asong, 30, yang menyaksikan kejadian bersama anak mereka serta kira-kira 15 penduduk kampung lain, segera mendapatkan bantuan selepas mangsa hilang daripada pandangan.
“Operasi SAR pada hari kedua dimulakan pada jam 8.30 pagi selepas sesi taklimat dan bacaan doa yang dipimpin oleh Pastor Elisa Wan. Pencarian dijalankan menggunakan lima buah bot milik penduduk kampung serta sebuah bot milik Polis Diraja Malaysia (PDRM)”, tambahnya dalam kenyataan.

Jelas kenyataan itu lagi, seramai 36 anggota terlibat dalam operasi tersebut, terdiri daripada tiga anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, tiga anggota PDRM serta 30 penduduk kampung. Operasi pencarian tertumpu di kawasan Sungai Baram dengan radius pencarian sejauh lima kilometer dari lokasi mangsa dipercayai tenggelam.
Operasi dihentikan sementara pada jam 11.30 pagi bagi memberi laluan kepada waktu makan tengah hari sebelum disambung semula pada jam 1.20 petang semalam.
Bagaimanapun, sehingga operasi ditangguhkan pada jam 5 petang, pasukan penyelamat masih belum menemui sebarang petunjuk yang boleh membawa kepada penemuan mangsa.
Pasukan SAR dijangka meneruskan operasi pencarian hari ini dengan anggota yang terlibat bermalam di Kampung Daleh Long Pelutan bagi memastikan operasi dapat disambung seawal mungkin.
Mangsa masih belum ditemui dan usaha pencarian sedang diteruskan oleh semua pihak yang terlibat.





