
SEMPORNA – Operasi pemuliharaan marin di sekitar Pulau Adal dan Pulau Tabawan baru-baru ini berjaya menyingkirkan sebanyak 1,318 tapak sulaiman duri (Crown-of-Thorns Starfish (COTs).
Pengurus Program Kanan Reef Check Malaysia Sabah, Adzmin Fatta berkata, sebanyak 742 ekor tapak sulaiman duri dikeluarkan di Pulau Tabawan manakala 576 ekor lagi di Pulau Adal.
Katanya, operasi itu dilaksanakan pasukan penyelam komuniti daripada Kumpulan Pemuliharaan Marin Komuniti (CMCG) Selakan, Larapan, Mabul dan Kunak susulan laporan mengenai peningkatan populasi spesies berkenaan yang mengancam ekosistem terumbu karang.
“Spesies itu menjadi ancaman serius kepada terumbu karang kerana memakan tisu karang hidup dan boleh menyebabkan kerosakan besar sekiranya populasinya tidak dikawal.
“Hasil tinjauan mendapati kebanyakan tapak sulaiman duri di Pulau Tabawan ditemui pada kedalaman 18 hingga 20 meter, manakala di Pulau Adal pula banyak ditemui di kawasan cetek antara satu hingga 10 meter.

“Keadaan ini membimbangkan kerana kawasan terbabit masih mempunyai habitat karang yang sihat dan terdedah kepada ancaman pemangsaan,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Adzmin turut menggesa penyelam, nelayan dan pengusaha pelancongan di Sabah khususnya di Pantai Timur supaya melaporkan sebarang tanda pelunturan karang atau peningkatan luar biasa populasi tapak sulaiman duri bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Sementara itu, penyelam Kumpulan Pemuliharaan Marin Kunak-Darvel, Mohd Zaidi Morphy berkata, komuniti setempat mempunyai peranan penting dalam mengesan ancaman terhadap ekosistem marin lebih awal.
“Kami berada di laut hampir setiap hari dan mampu mengenal pasti perubahan yang berlaku sebelum ia menjadi lebih serius.
“Terumbu karang yang sihat bukan sahaja penting untuk hidupan laut, malah menjadi sumber rezeki kepada komuniti yang bergantung kepada sektor perikanan dan pelancongan,” ujarnya.






