
PAUH PUTRA – Hasrat seorang anak tukang masak dan seorang anak yatim untuk melanjutkan pengajian ke universiti hampir terkubur akibat kekangan kewangan sebelum mendapat perhatian Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) menerusi inisiatif “Masuk dulu, kami bantu”.
Komitmen tersebut dizahirkan apabila pihak pengurusan tertinggi universiti turun padang menziarahi sendiri beberapa calon pelajar baharu yang berdepan kesukaran kewangan bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menyambung pengajian.
Antara yang menerima perhatian ialah Nur Umi Qamarina Qistina Mohd Iswadi dari Pendang, Kedah yang ditawarkan mengikuti Diploma Kejuruteraan Teknologi Bahan.
Difahamkan, dia sebelum ini terpaksa memohon penangguhan pengajian selepas berdepan kekangan kewangan untuk membuat persediaan awal ke kampus.
Nur Umi Qamarina berasal daripada keluarga sederhana dengan bapanya bekerja sebagai tukang masak manakala ibunya tidak bekerja, selain turut membantu keluarga dengan bekerja sambilan di sebuah kedai makan.
Seorang lagi calon pelajar yang menerima bantuan ialah Edwin Chan Jun Hong dari Kodiang, Kedah yang ditawarkan mengikuti Diploma Kejuruteraan Pembuatan.

Edwin yang merupakan anak yatim tinggal bersama bapanya yang bekerja di kilang dan berdepan cabaran kewangan untuk memulakan pengajian di universiti.
Naib Canselor UNIMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, prinsip “Masuk dulu, kami bantu” menjadi pegangan universiti dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada melanjutkan pengajian hanya kerana masalah kewangan.
“Jika ada masalah kewangan, masuk dahulu ke UNIMAP. Kita akan bantu melalui pelbagai saluran termasuk Bantuan Kasih UNIMAP.
“Setiap pelajar yang berjaya mendapat tempat di UNIMAP wajar diberikan peluang yang adil untuk meneruskan pengajian tanpa dibatasi latar belakang ekonomi,” katanya ketika menyantuni calon pelajar berkenaan.
Menurut beliau, kebajikan mahasiswa merupakan komitmen berterusan universiti dan tiada pelajar seharusnya tercicir hanya kerana kesukaran kewangan.
Katanya, UNIMAP turut melaksanakan Inisiatif Bantuan Awal Pengajian sejak tiga tahun lalu bagi membantu pelajar baharu membuat persediaan awal kemasukan ke kampus meliputi kos perjalanan, keperluan asas, penginapan dan kelengkapan pengajian.
Selain bantuan awal, universiti turut menyediakan pelbagai bentuk sokongan sepanjang tempoh pengajian termasuk bantuan kewangan, bantuan kecemasan, bantuan makanan, khidmat kaunseling, program pembangunan sahsiah serta sokongan kesejahteraan mental mahasiswa.





