Oleh: S.Abdullah dan Don Mikael
SEREMBAN – Sidang media Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang lazimnya diadakan selepas mesyuarat mingguan Exco dibatalkan pada saat akhir kerana mempunyai urusan rasmi yang perlu didahulukan.
Sidang media selepas menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap pagi tadi, dirancang pada jam 1.30 tengah hari.
Bagaimanapun Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah memaklumkan pembatalan kepada media yang sedia menunggu di Wisma Negeri.
“Sidang media Menteri Besar yang dijadualkan pada jam 1.30 tengah hari ini ditangguhkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
“YAB Menteri Besar mempunyai urusan penting,” katanya dalam mesej di aplikasi WhatsApp kumpulan media Menteri Besar Negeri Sembilan.
Ahmad Shahir bagaimana pun enggan mengulas urusan penting yang dimaksudkan itu.
Pada masa sama, beliau memaklumkan Aminuddin selesai mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bermula jam 11 pagi tadi dan selesai sekitar jam 12.30 tengah hari.
Sebelum ini, wartawan yang menunggu Aminuddin di Wisma Negeri sempat melihat beliau menaiki lif di bangunan itu kira-kira pukul 1.24 petang dipercayai menuju ke pejabatnya.
Terdahulu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, di sini, selama lebih satu jam pagi tadi.
Turut mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu ialah Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.
Aminuddin ketika ditemui pengamal media di pintu masuk Istana Hinggap selepas mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memaklumkan, perbincangan yang berlangsung hanyalah berkaitan urusan biasa.
“Biasa sahaja… Biasa-biasa hari Rabu,” katanya ringkas kepada media, pada Rabu.
Walaupun menjadi rutin Menteri Besar menghadapi Tuanku Muhriz, sesi menghadap hari ini ia menarik perhatian pengamal media susulan desas desus Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dalam masa terdekat.
Desas desus semakin kuat apabila Aminuddin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan PH Negeri Sembilan di Kediaman Rasmi Menteri Besar, pagi semalam.




