
SARATOK – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika berada di kawasan kebun kelapa di Empayung, Kabong sejak semalam ditemukan selamat pagi tadi.
Mangsa, Majidi Jali, berusia 56 tahun dilaporkan keluar dari rumah kira-kira jam 9 pagi pada Selasa untuk ke kebunnya sebelum gagal dihubungi oleh ahli keluarga.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.20 malam semalam sebelum menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok ke lokasi kejadian.
“Sebelum itu, rakan mangsa memaklumkan bahawa mangsa telah menghubunginya pada petang Selasa untuk meminta dihantar bekalan air kerana berada jauh di dalam kawasan hutan.
“Bagaimanapun, usaha untuk menghubungi mangsa selepas itu gagal apabila telefon bimbitnya tidak lagi dapat dihubungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa akhirnya dijumpai dalam keadaan selamat oleh ahli keluarga pada jam 9.15 pagi tadi sebelum dibawa pulang ke rumah.






