
SEOUL – Sarawak mengorak langkah berani untuk merealisasikan aspirasi menjadi hab teknologi dan semikonduktor berprestasi tinggi di rantau ini melalui sesi libat urus strategik bersama Persatuan Industri Semikonduktor Korea (KSIA) di Seoul pada Isnin.
Mengetuai delegasi tersebut, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan bahawa Sarawak kini giat memperkukuh rantaian kerjasama antarabangsa bagi mempercepatkan pembangunan teknologi serta menarik pelaburan berkualiti.
Usaha ini juga bertujuan meningkatkan kedudukan dan penyertaan negeri itu dalam rantaian nilai semikonduktor pada peringkat global.
Beliau menjelaskan perjalanan transformasi Sarawak bukan sekadar memfokuskan kepada penarikan pelaburan semata-mata, sebaliknya merangkumi pembinaan ekosistem menyeluruh, pemupukan bakat tempatan, kolaborasi inovasi, serta kelestarian industri untuk jangka masa panjang.

Tambah beliau, pelaburan syarikat Korea Selatan yang sedia wujud di Sarawak, khususnya dalam sektor pembuatan dan bahan maju, meletakkan negeri tersebut sebagai salah satu pengeluar utama polisilikon bagi rantaian bekalan elektronik dunia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Microelectronics Design (SMD Semiconductor), Shariman Jamil berkata, syarikat milik penuh Kerajaan Sarawak itu kini telah melangkah ke fasa kedua dalam pelan hala tuju jangka panjangnya.
Beliau menjelaskan fokus utama syarikat kini beralih daripada sekadar perancangan asas menuju ke arah fasa pelaksanaan yang lebih agresif, peluasan ekosistem, serta kerjasama industri yang lebih strategik.
Tegasnya, keutamaan SMD Semiconductor pada masa ini adalah untuk memastikan setiap perancangan berjaya dieksekusi, mengekalkan momentum yang telah dibina, dan menterjemahkan pelan sedia ada kepada hasil industri yang boleh diukur secara nyata.
Pertemuan strategik bersama KSIA itu membuka ruang luas untuk Sarawak meneroka peluang kolaborasi dalam pelbagai bidang teknologi masa hadapan.
Antara fokus utama ialah teknologi pengurusan kuasa seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), infrastruktur Kecerdasan Buatan (AI) yang merangkumi pengkomputeran maju, serta teknologi satelit untuk orbit rendah bumi (LEO).
Delegasi peringkat tinggi Sarawak itu turut disertai oleh pelbagai wakil kementerian serta agensi negeri, dan penganjurannya mendapat sokongan padu daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta MATRADE di Korea Selatan.
Menghargai inisiatif tersebut, Pengarah Eksekutif Bahagian Sokongan Industri KSIA, Jeon Jae-min menyambut baik libat urus berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu langkah bermakna untuk mengukuhkan lagi jambatan kerjasama antara industri semikonduktor Korea Selatan dengan rantau teknologi yang pesat membangun di Asia Tenggara.




