KUANTAN – Seramai 45 veteran UMNO di Jerantut mula menerima inisiatif Bakti Negeri (BN) Pahang bermula semalam.
Proses agihan BN itu dilakukan menerusi program Ziarah Kasih di FELDA Jengka 24, dekat Jerantut.
Dalam program itu, serahan BN Pahang dilakukan Setiausaha UMNO Bahagian Jerantut, Zainorin Abidin bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian.
Zainorin berkata, untuk fasa pertama pengagihan, sebanyak empat kediaman veteran UMNO disantuni mereka.
“Proses agihan ini dilakukan secara berfasa dan semalam kita bermula di FELDA Jengka 24 sebelum diteruskan ke kawasan lain,” katanya kepada The Malaysia Press.
Hadir sama AJK UMNO Bahagian, Razak Daud; Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Mohd Izzat Illzam Rosidi dan pimpinan sayap parti itu.
Inisiatif BN Pahang diperkenalkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sejak awal April.
Menerusi bantuan berkenaan, wakil rakyat dan pemimpin setempat mengagihkan kotak makanan kepada keluarga yang terjejas susulan konflik di Asia Barat.






