BETONG – Padah terlibat dalam pergaduhan akibat pengaruh alkohol, sembilan lelaki ditahan selepas dipercayai merusuh di sebuah pusat snuker di Pasar Debak pada Jumaat.
Tangkapan itu susulan penularan sebuah video pergaduhan di laman Facebook yang mengundang pelbagai reaksi memandangkan ia melibatkan penggunaan senjata.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersebut pada jam 11.56 pagi Jumaat.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis berjaya memberkas kesemua suspek warga tempatan yang berusia antara 23 hingga 35 tahun itu di beberapa lokasi berasingan sekitar Pusa dan Debak dari jam 2.30 hingga 4 petang hari yang sama.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran kecil antara dua individu yang saling mengenali di bawah pengaruh alkohol.
“Situasi tegang itu kemudiannya mengundang provokasi sehingga mendorong beberapa rakan mereka bertindak agresif. Orang awam yang berada di lokasi kejadian ketika itu bagaimanapun hanya cuba meleraikan pergaduhan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau mengesahkan tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan dalam insiden berkenaan dan kes tersebut sama sekali tiada kaitan dengan elemen gengsterisme.
Mengulas lanjut mengenai penahanan suspek, Wan Mohamad Ali memberitahu, dua daripada individu terbabit dikesan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati salah seorang daripada suspek positif dadah jenis ketamin, manakala lapan yang lain disahkan negatif,” jelasnya.
Kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula 29 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, PDRM memberi amaran tegas kepada orang awam agar menghentikan penyebaran video tersebut dan tidak mengeluarkan sebarang komen tidak sahih yang boleh mencetuskan kegusaran khususnya dalam kalangan penduduk Betong.






