
SINGAPURA – Amerika Syarikat (AS) bersedia mempertimbangkan penjualan sistem misil kepada Malaysia sebagai antara usaha membantu negara menangani isu perolehan peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) yang berdepan sekatan eksport daripada Norway.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jaminan itu disampaikan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, ketika pertemuan dua hala sempena Dialog Shangri-La (SLD) IISS Ke-23 di Singapura.
Beliau berkata, Malaysia telah membangkitkan isu pembelian NSM daripada Norway yang kini berdepan halangan serta mendapatkan pandangan AS mengenai pilihan yang boleh dipertimbangkan.
“Kita telah meminta pandangan AS bagi membantu mencari penyelesaian kepada isu yang dihadapi, kerana sebagaimana sedia maklum, terdapat sebuah syarikat AS mengeluarkan misil sama seperti Norway.
“Kita telah bertanya sama ada AS bersedia membenarkan penjualan misil itu kepada kita bagi menangani masalah yang dihadapi,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.
Terdahulu, Norway dilaporkan menarik balik lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM dan sistem pelancar berkaitan yang diperoleh Malaysia atas alasan keselamatan.
Perolehan sistem berkenaan dimeterai pada April 2018 menerusi kontrak bernilai 124 juta euro (RM571.9 juta) antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan syarikat Kongsberg Defence & Aerospace bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, AS turut menawarkan kerjasama lebih erat dalam perkongsian maklumat berkaitan Maritime Domain Awareness (MDA) bagi memperkukuh pemantauan keselamatan maritim Malaysia.
Selain AS, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, bagi meneliti langkah memperluas kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.
Menurutnya, perbincangan tertumpu kepada penubuhan Jawatankuasa Perancangan Bersama, perkongsian maklumat strategik serta persiapan menghadapi mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Malaysia-Australia dan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).
“Saya mengucapkan tahniah kepada Australia atas pelaksanaan National Defence Strategy (NDS) 2026 dan Integrated Investment Program (IIP) 2026 sebagai langkah penting dalam memperkukuhkan keupayaan serta kesiapsiagaan pertahanannya,” katanya.
Menyentuh hubungan pertahanan dengan Kanada, beliau berkata, Malaysia dan negara itu sedang meneliti cadangan untuk mewujudkan kerangka kerjasama pertahanan yang lebih tersusun menerusi pemeteraian perjanjian rasmi.
“Kita mencadang supaya diwujudkan satu bentuk kerjasama pertahanan secara formal yang ditandatangani kedua-dua negara, kerana ketika ini kerjasama yang ada tidak berasaskan mana-mana perjanjian,” katanya.
Dialog Shangri-La IISS 2026 yang berlangsung di Singapura menghimpunkan pemimpin pertahanan dan keselamatan dari seluruh dunia bagi membincangkan isu strategik yang memberi kesan kepada kestabilan serantau dan global.





