
PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MoT) menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kejadian tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling yang tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin, pagi tadi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, hasil siasatan pasukan berkenaan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum diumumkan kepada orang ramai dalam kadar segera.
Beliau berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap pengendali perkhidmatan, Prasarana Malaysia Berhad susulan insiden berkenaan.
“Pihak APAD sudah membuka kertas siasatan terhadap insiden ini serta-merta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam kejadian itu, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling dilaporkan tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan sehingga menyebabkan gangguan jadual perjalanan perkhidmatan.
Menurut Rapid KL, insiden berpunca daripada kerosakan pada sistem suis landasan yang menghalang pergerakan tren terbabit.
Seramai 25 penumpang berada di dalam tren ketika kejadian dan kesemua mereka berjaya dipindahkan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Anthony berkata, Ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan tertinggi Prasarana Malaysia Berhad tidak boleh lagi mengambil pendekatan sambil lewa terhadap aspek operasi dan keselamatan.
Beliau menegaskan, tiada mana-mana pihak dalam pengurusan syarikat itu akan terlepas daripada dipertanggungjawabkan berhubung kejadian berkenaan.
“Piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan awam bukan sesuatu yang boleh dikompromikan.
“Tindakan serius termasuk pemecatan perlu diambil pihak Lembaga Pengarah Prasarana terhadap mana-mana pihak yang cuai dalam tanggungjawab mereka untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kebolehpercayaan perkhidmatan sistem rel di bawah kendalian Prasarana,” katanya.




