
KOTA BHARU – Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) menutup saingan Liga A1 Semi Pro musim ini di tangga keempat liga selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Bunga Raya FC di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.
Kemenangan tersebut sekali gus mengesahkan slot KRW FC ke saingan Liga Super musim depan selepas layak secara merit.
Beraksi di hadapan lebih 10,000 penyokong sendiri, pasukan tuan rumah dikejutkan dengan jaringan awal pelawat menerusi Muhammad Aqil Hazwan Norhasidi pada minit ketujuh.
Tersentak dengan gol tersebut, anak didik Irfan Bakti Abu Salim menggandakan asakan untuk mencari jaringan penyamaan namun beberapa peluang gagal disempurnakan.
Usaha KRW FC akhirnya berhasil apabila Naim Mulhassan Alias meledak gol penyamaan pada penghujung babak pertama untuk mengikat kedudukan 1-1 sebelum kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan.
Memasuki separuh masa kedua, KRW FC terus menguasai permainan dan Emmanuel Mbarga muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-74.
Jaringan tersebut sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata penting buat KRW FC sekali gus memastikan mereka menamatkan musim dengan penuh bergaya di hadapan penyokong sendiri.
Kejayaan itu turut menghidupkan semula harapan penyokong bola sepak Kelantan untuk melihat pasukan negeri itu kembali bersaing di pentas tertinggi bola sepak negara musim hadapan.
Foto: Utusan Malaysia




