
KOTA KINABALU – Kampung Bantayan dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI menerusi inisiatif yang digerakkan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Ts Mustapha Sakmud.
Ketua Kg Bantayan, Jindru Jipiol berkata, penduduk kampung menzahirkan penghargaan atas pemilihan itu yang disifatkan mampu membawa pembangunan serta penambahbaikan kemudahan asas di kampung berkenaan.
Menurutnya, lawatan yang diadakan turut menyaksikan beberapa keperluan kampung dikenal pasti termasuk cadangan menaik taraf dewan serbaguna kampung tersebut.

“Dewan ini akan dinaik taraf termasuk penggantian dinding dan tandas selain pemasangan penghawa dingin untuk keselesaan penduduk.
“Kg Bantayan juga masih memerlukan perhatian khusus terutama berkaitan sistem perparitan yang menjadi punca banjir sekiranya hujan lebat.
“Kami juga berharap permohonan pembinaan padang yang dikemukakan sejak 2004 dapat disegerakan selain penambahbaikan simpang jalan di beberapa kawasan kampung,” katanya ketika ditemui wartawan TMP, di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Bantayan, Jerry Jipol berkata, penduduk menyambut baik hasrat menaik taraf dewan kampung kepada kemudahan yang lebih selesa dan lengkap.
“Kami amat berbesar hati kerana Kg Bantayan dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI dan berharap segala perancangan dapat direalisasikan,” katanya.
Manakala seorang lagi penduduk kampung, Samuel Petrus berkata, pemilihan Kg Bantayan sebagai Kampung Angkat MADANI memberi harapan baharu kepada penduduk setempat.
“Mewakili penduduk di kampung ini, kami bersyukur kerana kampung ini diberi perhatian dan berharap inisiatif yang dijanjikan akan membawa manfaat jangka panjang kepada komuniti,” kongsinya.

Mustapha bersama Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah dan agensi berkaitan mengadakan lawatan ke kampung berkenaan bagi meninjau keadaan dan fasiliti kampung berkenaan dalam usaha perancangan memperkasa pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.



