PASIR GUDANG – Spekulasi mengenai kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semakin hangat diperkatakan susulan khabar angin bahawa Sidang DUN Khas bakal diadakan pada 24 Jun depan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kemungkinan besar sidang khas tersebut berkait rapat dengan agenda pembubaran DUN Johor, namun ia hanya boleh berlaku sekiranya Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengemukakan hasrat berkenaan kepada Sultan Johor serta memperoleh perkenan rasmi daripada pihak istana.
“Pembubaran DUN Johor perlu dimaklumkan kepada Sultan Johor terlebih dahulu iaitu pada atau sebelum 24 Jun.
“Menteri Besar bertanggungjawab menasihati Sultan Johor bagi mendapatkan perkenan pembubaran. Sama ada perkara ini sudah dilakukan atau belum, saya tidak pasti,” katanya ketika dihubungi.
Hassan menjelaskan, sekiranya Sultan Johor memberi perkenan, maka sidang khas DUN Johor pada tarikh tersebut wajar dijadikan platform untuk mengemukakan usul pembubaran DUN.
Beliau turut mengingatkan bahawa tempoh pentadbiran DUN Johor masih berbaki sehingga tahun 2027, sekali gus menjadikan sebarang langkah ke arah pembubaran awal sebagai perkara yang signifikan dan memerlukan pertimbangan teliti.
“Jika benar ada Sidang DUN Johor Khas pada 24 Jun ini, ada kemungkinan besar agenda atau urusan persidangan itu berkaitan pembubaran DUN Johor,” katanya.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, urusan sidang khas DUN itu sememangnya melibatkan 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor selain pihak berkaitan termasuk media.
Terdahulu, tular satu mesej dipercayai memaklumkan kepada semua ADUN Barisan Nasional (BN) supaya ‘mengunci’ tarikh 24 Jun susulan jangkaan berlangsungnya Persidangan Dewan Negeri Khas.
Bagaimanapun, Hassan memaklumkan beliau sendiri tidak menerima sebarang jemputan rasmi atau mesej berkaitan sidang tersebut.
Perkembangan ini terus mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pemerhati politik Johor mengenai kemungkinan berlakunya pembubaran awal DUN, meskipun setakat ini belum ada pengesahan rasmi daripada kerajaan negeri atau Istana Johor.




