KUALA LUMPUR – Semua 29 rakyat Malaysia yang dibebaskan Israel selepas ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 disahkan berada dalam keadaan selamat dan kini berada di Istanbul, Turkiye bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
Kementerian Luar memaklumkan, kesemua mereka dijadualkan pulang ke tanah air dan dijangka tiba pada Ahad ini.
Menurut kementerian itu, kerajaan Malaysia turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Turkiye atas bantuan serta sokongan yang diberikan sepanjang proses pembebasan dan urusan kepulangan peserta GSF 2.0 negara ini.
Kementerian itu turut menghargai komitmen yang ditunjukkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan seluruh pasukan Sumud Nusantara dalam menjayakan misi berkenaan.
“Walaupun flotila kemanusiaan ini dihalang daripada tiba di Gaza, misi ini berjaya meningkatkan kecaman antarabangsa terhadap sekatan haram rejim Zionis Israel ke atas Gaza, Palestin.
“Malaysia kekal komited untuk meneruskan usaha diplomatik bersama rakan antarabangsa dalam menjunjung prinsip kemanusiaan serta memperkukuh solidariti global ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka.
Semalam, media melaporkan seramai 428 aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa, dibebaskan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, menghantar tiga pesawat Turkish Airlines ke Lapangan Terbang Ramon yang terletak di kawasan pendudukan haram Israel.
Beliau berkata, SNCC menjangkakan delegasi Malaysia akan berlepas pulang ke tanah air esok sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ahad ini.





