JOHOR BAHRU – Keadaan politik semasa tidak seharusnya ditambah dengan perpecahan baharu yang boleh menggugat kestabilan sedia ada.
Setiausaha AMANAH Negeri Johor, Mohd Idris Jiat mengaitkan situasi tersebut dengan tindakan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang membuka parti baharu selepas perkembangan dalam landskap politik semasa.
“Langkah menubuhkan parti atau gerakan politik baharu pada ketika ini tidak wajar kerana ia boleh menambah kerencaman politik serta mengalih fokus daripada isu utama rakyat seperti kos sara hidup dan pemulihan ekonomi.
“Parti baharu tidak wajar ketika negara memerlukan kestabilan. Apa yang lebih penting ialah memperkukuh struktur politik sedia ada dan memastikan mandat rakyat tidak terganggu dengan perpecahan baharu,” katanya.
Tambah beliau lagi, setiap pemimpin politik perlu menilai semula tindakan masing-masing agar tidak mengabaikan jasa dan pengorbanan generasi terdahulu yang pernah melalui kesusahan termasuk penahanan dan tekanan politik demi membuka ruang demokrasi hari ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Idris merujuk kepada ungkapan “Di sebalik kejayaan seorang budak ada seorang tua yang pernah meringkuk di penjara demi masa depan budak itu” sebagai simbolik kepada perjuangan generasi terdahulu yang pernah berkorban termasuk dipenjarakan demi membuka ruang demokrasi dan masa depan politik negara.
Mohd Idris menegaskan bahawa pengorbanan generasi terdahulu dalam perjuangan politik negara tidak wajar dipersiakan, terutama ketika negara menurutnya sedang memerlukan kestabilan politik yang kukuh.
Kenyataan itu turut dilihat sebagai sindiran politik terhadap Rafizi yang sebelum ini menjadi antara figura utama dalam PKR, sebelum dikaitkan dengan perbincangan mengenai hala tuju politiknya selepas ini, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati politik tanah air.





