ISKANDAR PUTERI – Johor terus dilihat sebagai negeri strategik yang berpotensi menjadi penentu utama landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Pengarah Strategik DAP Kebangsaan, Liew Chin Tong.
Menurut beliau, kedudukan Johor bukan sahaja penting dari sudut sejarah politik negara, malah negeri itu terbukti mempunyai pengaruh besar dalam menentukan pembentukan Kerajaan Persekutuan berdasarkan pola keputusan pilihan raya sejak beberapa dekad lalu.
Chin Tong berkata, Persidangan Pakatan Harapan yang berlangsung di Johor Bahru pada 17 Mei lalu bukan sekadar pertemuan biasa, sebaliknya menjadi platform penting bagi menilai hala tuju gabungan itu dalam menghadapi cabaran politik semasa serta persiapan menuju pilihan raya umum akan datang.
Beliau menjelaskan bahawa Johor mempunyai nilai simbolik dan strategik tersendiri memandangkan UMNO dilahirkan di negeri itu pada 1946, selain sekian lama dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional dengan sokongan pelbagai kaum.

“Johor bukan sekadar negeri biasa dalam percaturan politik nasional. Ia mempunyai sejarah panjang sebagai benteng kuasa politik tradisional, namun dalam masa sama telah membuktikan bahawa perubahan besar juga boleh bermula dari Johor,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas sejarah pilihan raya, Chin Tong berkata, perubahan pola persempadanan kawasan Parlimen serta pertumbuhan kerusi campuran kaum memberi kesan besar terhadap dinamika politik negara, termasuk membuka ruang kepada perubahan landskap sokongan rakyat.
Menurutnya, selepas persempadanan semula pada 2003, Johor muncul sebagai negeri dengan jumlah kerusi Parlimen paling banyak di Semenanjung iaitu 26 kerusi, sekali gus menjadikan negeri itu amat signifikan dalam perebutan kuasa di peringkat Persekutuan.
Beliau turut mengimbau prestasi Pakatan Harapan di Johor yang menunjukkan peningkatan ketara apabila DAP hanya memenangi satu kerusi pada PRU 2008 sebelum gabungan pembangkang memperluas pengaruh pada PRU 2013.

“Kemuncak perubahan itu berlaku pada PRU 2018 apabila Pakatan Harapan berjaya memenangi 18 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor, sekali gus menyumbang kepada kemenangan bersejarah gabungan itu membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Jika Johor ketika itu tidak memberikan jumlah kerusi yang signifikan kepada Pakatan Harapan, sejarah politik Malaysia mungkin mengambil laluan yang sangat berbeza,” ujarnya.
Beliau berkata, senario sama turut dapat dilihat dalam PRU 2022 apabila Johor sekali lagi memainkan peranan besar apabila Pakatan Harapan bersama sekutunya memenangi 15 kerusi Parlimen, berbanding Barisan Nasional dengan sembilan kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi.
Justeru, Chin Tong berpandangan Persidangan Pakatan Harapan yang diadakan di Johor baru-baru ini boleh menjadi titik penting dalam merangka strategi masa depan gabungan itu, sama ada untuk memperkukuh pengaruh di negeri berkenaan atau mencorak semula arah politik nasional.
Menurutnya, persoalan sama ada Johor sekali lagi akan menjadi pencetus perubahan besar politik negara hanya akan terjawab apabila rakyat membuat keputusan dalam pilihan raya akan datang.





