
PENGANJUR misi kemanusiaan ke Gaza, Global Sumud Flotilla (GSF), mengesahkan kesemua kapal dalam konvoi bantuan mereka telah dirampas oleh tentera rejim Zionis Israel pada Selasa.
Menerusi satu kenyataan di aplikasi Telegram, pihak penganjur memaklumkan mereka kini sedang menunggu maklumat lanjut mengenai penahanan haram tersebut, lapor Anadolu.
Sambil berikrar untuk meneruskan misi demi Palestin, pihak penganjur turut menggesa komuniti antarabangsa supaya mendesak agar laluan selamat diberikan kepada konvoi berkenaan.
“Hantarkan e-mel desakan kepada menteri luar negara anda,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, pasukan pengurusan krisis konvoi tersebut mengesahkan bahawa tentera Israel telah memintas Lina Al-Nabulsi, iaitu kapal terakhir yang masih bertahan dalam flotila berkenaan.
Pihak penganjur mendedahkan tentera Israel setakat ini telah merampas sebanyak 50 buah kapal yang membawa 428 peserta dari 44 buah negara, termasuk 78 warga Turkiye.
Sementara itu, Kementerian Luar Israel menerusi hantaran di platform X memaklumkan bahawa kesemua aktivis telah dipindahkan ke kapal tentera Israel dan kini dalam perjalanan ke negara itu untuk proses pertemuan dengan wakil konsular masing-masing.
Terdahulu pada hari yang sama, pihak flotila melaporkan kapal-kapal tentera Israel terus bertindak agresif menyerang dan menyerbu armada bantuan kemanusiaan itu di perairan antarabangsa ketika mereka sedang menuju ke Semenanjung Gaza.
Ketegangan tersebut memuncak selepas tentera Israel mula melancarkan siri serangan terhadap konvoi bantuan berkenaan di perairan antarabangsa sejak Isnin lalu.
Konvoi yang pada asalnya terdiri daripada 54 buah bot itu telah memulakan pelayaran pada Khamis dari wilayah Marmaris, Turkiye, sebagai percubaan terbaharu untuk memecahkan kepungan haram Israel yang dikenakan ke atas Gaza sejak tahun 2007.
Insiden pemintasan sedemikian bukanlah kali pertama berlaku melibatkan flotila berkenaan.
Pada akhir April lalu, tentera Israel dilaporkan pernah menyerang bot-bot flotila di perairan antarabangsa berhampiran Pulau Crete, Greece. Konvoi pada ketika itu disertai oleh 345 peserta dari 39 buah negara, termasuk warga Turkiye.
Israel telah mengenakan sekatan menyeluruh yang menindas di Semenanjung Gaza sejak 2007, sekali gus mengheret kira-kira 2.4 milar penduduk wilayah berkenaan ke kancah kebuluran.
Sekatan itu diburukkan lagi dengan serangan kejam tentera Israel selama dua tahun sejak Oktober 2023, yang telah mengorbankan lebih 72,000 nyawa, mencederakan lebih 172,000 orang, serta mengakibatkan kemusnahan skala besar di seluruh wilayah yang dikepung itu.

