PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan dalam masa terdekat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pelbagai langkah awal sudah dilaksanakan termasuk penyelarasan operasi dengan pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan perjalanan pilihan raya dapat dikendalikan secara teratur dan lancar.
“Ia termasuk penyelarasan antara Pejabat PRN dengan pihak pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri terbabit.
“Selain itu, kita juga melaksanakan pengemaskinian lokasi dan kemudahan logistik pusat mengundi, selain mengadakan latihan bersama petugas pilihan raya serta penilaian keperluan peralatan pilihan raya di negeri berkaitan,” katanya kepada BH semalam.
Beliau berkata, SPR turut menumpukan penelitian terhadap aspek operasi dan logistik sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, penelitian itu merangkumi pengurusan petugas, penyediaan bahan pilihan raya, proses perolehan serta komponen lain yang berkaitan dengan pelaksanaan pilihan raya.
Menurut beliau, kos keseluruhan pilihan raya belum dapat dimuktamadkan kerana ia bergantung kepada keputusan semasa dan kaedah pelaksanaan PRU yang akan ditentukan kelak.
Ramlan berkata, anggaran kos pelaksanaan pilihan raya bergantung kepada beberapa faktor termasuk jumlah pengundi berdaftar, bilangan pusat mengundi, penggunaan teknologi serta keperluan operasi semasa.
“SPR sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan, termasuk Kementerian Kewangan, bagi memastikan segala keperluan dan perolehan berkaitan pilihan raya dapat diuruskan secara teratur dan berhemah.
“Berdasarkan peruntukan undang-undang, SPR mempunyai tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran untuk melaksanakan proses pilihan raya.
“Momentum persiapan rapi yang sedang giat dilaksanakan sekarang akan diteruskan bagi memastikan urusan pilihan raya boleh dilaksanakan dengan cekap dan lancar,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi bayangan bahawa PRU16 berkemungkinan diadakan lebih awal sebelum tamat penggal semasa pada Disember 2027.
Mengulas lanjut, Ramlan berkata, SPR sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran Parlimen selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang pilihan raya yang berkuat kuasa.
Katanya, persiapan berterusan dilakukan termasuk membabitkan pengurusan daftar pemilih, penyediaan pusat mengundi, latihan petugas, sistem teknologi pengurusan pilihan raya, pengundian pos serta penyediaan peralatan seperti kertas undi, peti undi dan dakwat pilihan raya.
Beliau berkata, sejak 15 Disember 2021, SPR melaksanakan mekanisme pendaftaran pemilih secara automatik selain membolehkan pengemaskinian lokasi mengundi dilakukan sepanjang masa.
“Daftar pemilih semasa sentiasa diselenggara, dikemas kini dan diwartakan setiap bulan mengikut peruntukan perundangan yang ditetapkan.
“Bagi aspek logistik dan operasi, SPR turut melaksanakan semakan berkala terhadap stok simpanan bahan pilihan raya termasuk peralatan mengundi dan keperluan teknikal lain bagi memastikan proses pilihan raya dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan sekiranya Parlimen dibubarkan.
“SPR juga sentiasa mengemas kini keperluan peralatan tambahan bagi memudahkan dan melancarkan proses perolehan kelak,” katanya.




