
SUBANG – Kementerian Luar menggesa rejim Zionis segera membebaskan 25 rakyat Malaysia yang ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan menahan peserta misi berkenaan jelas bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
“Kita mendesak pihak rejim Zionis memberi layanan yang sempurna kepada mereka serta membebaskan mereka segera kerana ini bertentangan dengan hak asasi dan undang-undang antarabangsa.
“Mereka tidak mencerobohi perairan Israel, sebaliknya jauh di luar.
“Namun, mereka dipintas dan ramai rakyat negara lain turut ditahan oleh rejim Zionis,” katanya pada sidang media di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, hari ini, selepas pulang daripada lawatan kerja ringkas ke Myanmar.
Dalam pada itu, Mohamad turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Turkiye dan Menteri Luarnya, Hakan Fidan, atas bantuan membawa pulang 10 rakyat Malaysia yang ditahan sebelum ini.
Beliau berkata, lima rakyat Malaysia sebelum ini ditahan pihak Greece selepas kapal dinaiki mereka karam ketika cuba membawa pulang kapal yang terlanggar batu karang.
“Lima rakyat Malaysia ditahan pihak Greece selepas kapal mereka karam, ketika cuba membawa pulang kapal berkenaan yang terlanggar batu karang.
“Tiga peserta sudah dibebaskan, manakala kapten dan penolong kapten ditahan dan dibicarakan sebelum mahkamah membebaskan mereka.
“Mereka semua sudah kembali ke Istanbul,” katanya.
Terdahulu, Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan 25 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 ke Gaza dipintas pihak Zionis ketika berada di perairan antarabangsa sejak semalam.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, dilaporkan berkata sehingga jam 3 petang tadi, sebanyak 40 kapal flotila yang membawa hampir 350 aktivis telah dipintas dan diceroboh pihak Israel.



