TEBRAU – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada tahun 2022 tidak boleh dijadikan ukuran mutlak bahawa rakyat negeri ini akan terus memberikan sokongan sama pada pilihan raya akan datang.
Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, suasana politik ketika PRN Johor 2022 berlangsung adalah luar biasa susulan kesan pandemik COVID-19 yang masih dirasai rakyat.
Menurut Ahli Parlimen Tebrau itu, ketika pilihan raya tersebut berlangsung, ramai rakyat Johor khususnya mereka yang bekerja di Singapura berdepan kesukaran untuk pulang mengundi, sekali gus memberi kesan kepada kadar keluar mengundi dan corak sokongan keseluruhan.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan keputusan PRN Johor 2022 tidak boleh dianggap sebagai gambaran sebenar sentimen politik rakyat ketika ini, apatah lagi landskap politik negara kini semakin berubah dan matang.
“Keputusan PRN Johor 2022 bukan gambaran mutlak sokongan rakyat ketika ini kerana pilihan raya tersebut berlangsung dalam keadaan luar biasa pasca pandemik. Pada ketika itu, kesan pandemik masih belum pulih sepenuhnya dan ramai pengundi Johor yang bekerja di Singapura tidak dapat pulang mengundi dengan mudah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jimmy Puah turut menjelaskan bahawa ukuran lebih tepat mengenai sokongan rakyat Johor dapat dilihat menerusi keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi majoriti kerusi Parlimen di negeri itu.
Katanya, jika keputusan PRU tersebut diterjemahkan kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), PH secara bersendirian mampu memperoleh 32 kerusi iaitu jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri tanpa memerlukan gabungan lain.
Menurut beliau, perkembangan itu jelas membuktikan rakyat Johor bukan ‘simpanan tetap’ atau deposit kekal kepada mana-mana parti politik termasuk BN.
Jimmy Puah berkata, BN tidak seharusnya terlalu selesa dengan kemenangan lalu sehingga gagal membaca perubahan sentimen semasa rakyat yang kini lebih kritikal dalam membuat penilaian terhadap parti politik.
“Rakyat Johor tahu membezakan siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya mahu merebut kuasa, siapa yang mempertahankan kestabilan dan siapa yang mencipta risiko politik yang tidak perlu,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa rakyat kini sedang berdepan tekanan kos sara hidup, cabaran ekonomi dan ketidaktentuan global yang memerlukan perhatian serius daripada kerajaan dan pemimpin politik.
Tambah beliau, keutamaan ketika ini sepatutnya tertumpu kepada usaha memperkukuh ekonomi negeri, menarik lebih banyak pelaburan serta memastikan kebajikan rakyat terus terbela dan bukannya mencetuskan pilihan raya mengejut demi kepentingan politik tertentu.
Beliau turut menegaskan Johor memerlukan sebuah pentadbiran yang stabil, pragmatik dan mempunyai perancangan jangka panjang demi menjamin masa depan rakyat yang lebih baik.







