
BUKIT KATIL – Keenakan hidangan di restoran Awang Roti Canai terus menjadikan premis itu antara destinasi sarapan popular di negeri ini apabila tidak putus menerima kehadiran pelanggan seawal pagi.
Tinjauan mendapati, suasana di restoran berkenaan sentiasa meriah dengan kehadiran pelanggan pelbagai lapisan umur termasuk keluarga, pekerja serta pengunjung luar yang sanggup datang awal bagi menikmati hidangan roti canai yang menjadi sebutan ramai.
Keunikan tekstur roti canai yang rangup di luar dan lembut di dalam selain dipadankan dengan pilihan kuah kari menjadikan lokasi itu terus mendapat tempat dalam kalangan pelanggan tetap.
Selain roti canai kosong dan telur, pelanggan turut mempunyai pilihan menikmati pelbagai menu sampingan seperti sambal sotong, kambing, pari, isi jenahak dan daging masak lemak, sekali gus memberi kelainan kepada pengalaman bersarapan.
Lebih menarik, premis itu turut menawarkan menu asam pedas tetel berharga RM10 yang hanya dijual pada Sabtu dan Ahad, menjadikannya antara hidangan yang turut diburu pelanggan setia.

Difahamkan, premis di Bukit Katil itu merupakan cawangan kedua Awang Roti Canai selepas kejayaan premis pertamanya di Bukit Beruang, sekali gus memberi lebih pilihan kepada pelanggan khususnya di sekitar kawasan berkenaan.
Di sebalik populariti premis itu, kelibat Awang yang masih setia menyediakan roti canai secara langsung di hadapan pelanggan turut menjadi tarikan tersendiri selain mewujudkan suasana santai dan mesra kepada pengunjung.
Seorang pelanggan, Zahiruddin Abd Kalil berkata, dia gemar menjadikan lokasi itu sebagai tempat sarapan kerana rasa makanan yang konsisten selain pilihan lauk yang pelbagai.
“Kalau hujung minggu memang saya datang awal sebab suasana di sini lain daripada yang lain. Roti canai dia memang sedap, rangup dan pilihan lauk seperti sambal sotong serta asam pedas tetel memang menaikkan selera,” katanya ketika ditemui.

Populariti Awang Roti Canai membuktikan premis makanan berkonsepkan santai dan mengekalkan cita rasa tradisional masih mempunyai tempat tersendiri di hati masyarakat, sekali gus terus menjadi lokasi pilihan ramai untuk menikmati sarapan bersama keluarga dan rakan-rakan.




