Amanah kepimpinan dalam demokrasi Malaysia

KITA telah berbicara tentang pembinaan negara bangsa dan hati nurani sebuah tamadun. Tentang bagaimana sesebuah negara tidak mampu berdiri hanya melalui kekuatan institusi atau pembangunan material semata-mata, tetapi memerlukan kesedaran kolektif untuk terus memikul masa depan bersama.

Dan dalam dunia hari ini, cabaran itu sedang diuji dengan semakin getir.

Di banyak negara, liberal demokrasi mula berdepan krisis keyakinan. Kebebasan yang suatu ketika dahulu diraikan sebagai asas kemajuan semakin tenggelam dalam polarisasi, politik kebencian dan pertarungan identiti yang tidak berkesudahan. Demokrasi tidak lagi dilihat sebagai ruang membina persefahaman, tetapi medan untuk saling menewaskan.

Media sosial mempercepatkan keadaan itu. Persepsi bergerak lebih pantas daripada renungan. Emosi mengatasi pertimbangan. Lalu masyarakat semakin terpecah kepada kelompok-kelompok kecil yang saling curiga antara satu sama lain.

Namun, Malaysia lahir daripada sejarah yang berbeza. Malaysia lahir daripada kesepakatan bahawa manusia yang berbeza masih mampu berkongsi tanah, harapan dan masa depan bersama. Dalam konteks itulah demokrasi berparlimen negara ini berkembang sebagai ruang berkompromi yang sentiasa memerlukan kesabaran politik dan kematangan sosial.

Sejak awal pembentukannya, Malaysia sebenarnya merupakan sebuah eksperimen demokrasi kepelbagaian. Sebuah negara yang cuba membuktikan bahawa kestabilan tidak semestinya lahir daripada kesamaan, tetapi daripada kesediaan untuk terus hidup bersama dalam segala perbezaan.

Kerana itu, politik Malaysia tidak pernah benar-benar mudah. Setiap keputusan menyentuh pelbagai sensitiviti. Setiap dasar memerlukan imbangan. Dan setiap krisis menuntut kebijaksanaan untuk memastikan perbezaan tidak bertukar menjadi perpecahan.

Dalam konteks politik semasa, realiti itu dapat dilihat melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim.

Kerajaan hari ini bukan terdiri daripada satu parti yang homogen. Ia menghimpunkan pelbagai latar politik, sejarah persaingan, ideologi dan kepentingan wilayah yang berbeza. Dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, daripada parti berasaskan reformasi hinggalah parti tradisional yang pernah menjadi lawan politik selama puluhan tahun.

Dalam banyak negara, gabungan sebesar itu mungkin gagal bertahan lama. Tetapi Malaysia memilih jalan yang lebih sukar iaitu mencari kestabilan melalui rundingan, kompromi dan kesediaan untuk berkongsi tanggungjawab bersama.

Dan di tengah krisis dunia hari ini, pendekatan itu mula menarik perhatian masyarakat antarabangsa.

Malah, beberapa penilaian antarabangsa mula melihat Malaysia sebagai antara negara membangun yang paling berdaya tahan dalam menghadapi kejutan ekonomi dan geopolitik dunia. Moody’s Ratings misalnya meletakkan Malaysia dalam kelompok pasaran sedang pesat membangun yang menunjukkan ketahanan kukuh ketika dunia berdepan ketidaktentuan global sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pendekatan itu turut mendapat perhatian media antarabangsa. Dalam liputan mengenai Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, Xinhua News Agency menggambarkan bagaimana Malaysia memberi penekanan kepada integrasi serantau, daya tahan ekonomi dan kerjasama pelbagai hala ketika dunia sedang berdepan tekanan geopolitik serta gangguan perdagangan global.

Apa yang menarik, semua ini tidak lahir daripada politik yang terlalu sempit atau populis semata-mata. Sebaliknya, ia memperlihatkan usaha Malaysia untuk mempertahankan kestabilan, keterangkuman dan dialog antarabangsa dalam keadaan dunia yang semakin cenderung kepada polarisasi kuasa.

Dalam konteks itu, kemampuan Malaysia mengurus kerajaan yang terdiri daripada pelbagai parti dan ideologi sebenarnya menjadi sebahagian daripada kekuatan diplomatik negara sendiri. Kerana kestabilan dalaman sering menjadi asas kepada kewibawaan sesebuah negara di pentas antarabangsa.

Mungkin kerana itu juga, dalam tradisi fiqh al-haraki, kepimpinan atau al-qiyadah tidak pernah dilihat sebagai tasyrif, iaitu kemuliaan yang diraikan untuk kebanggaan diri. Sebaliknya, ia dilihat sebagai taklif, yakni amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan.

Kuasa, dalam kerangka itu, bukan ruang untuk memuaskan ego manusia. Ia adalah beban moral untuk menjaga masyarakat, melindungi kestabilan dan memastikan keadilan terus mempunyai ruang untuk hidup.

Tambahan pula dalam negara seperti Malaysia, di mana setiap keputusan perlu mengambil kira pelbagai kaum, agama, wilayah dan latar sosial yang berbeza. Dalam keadaan seperti itu, kepimpinan menuntut kesabaran untuk mendengar, kebijaksanaan untuk mengimbangi dan keberanian untuk mempertahankan kesatuan meskipun sentiasa berdepan tekanan politik pelbagai arah.

Di sinilah demokrasi Malaysia menemukan keunikannya sendiri. Liberal demokrasi dalam konteks Malaysia berkembang melalui budaya musyawarah, toleransi sosial dan kesedaran bahawa kestabilan masyarakat majmuk memerlukan tanggungjawab bersama.

Inilah cabaran Malaysia, untuk memastikan kepelbagaian yang diwarisi sejak merdeka terus mampu menjadi kekuatan, bukan bahan bakar kepada perpecahan. Dan inilah juga bentuk sebenar amanah kenegaraan yang sedang diuji di hadapan sejarah.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

SEPANG – Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan sebanyak 54 kapal di bawah misi Global Sumud Flotilla (GSF) kini berada di garisan kuning dua, kira-kira 340 batu nautika dari pantai…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

KETIKA sebahagian pihak terus memainkan naratif kononnya negara sedang gagal dan ekonomi semakin merudum, angka rasmi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2026 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Villa ke Liga Juara-Juara lepas kalahkan Liverpool

Villa ke Liga Juara-Juara lepas kalahkan Liverpool

Gerakan Setia UMNO bangkit semangat pemuda FELDA

Gerakan Setia UMNO bangkit semangat pemuda FELDA

MDLBS komited tingkat mutu perkhidmatan di Sibu Jaya

MDLBS komited tingkat mutu perkhidmatan di Sibu Jaya

Saringan awal pastikan warga IPD Limbang kekal cergas

Saringan awal pastikan warga IPD Limbang kekal cergas

Kecemerlangan Dr Velerie bukti pendidikan memanusiakan manusia – Fadhlina

Kecemerlangan Dr Velerie bukti pendidikan memanusiakan manusia – Fadhlina

Amanah kepimpinan dalam demokrasi Malaysia

Amanah kepimpinan dalam demokrasi Malaysia