
KOTA KINABALU – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri Sabah yang menangguhkan dasar serta pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Sabah demi memastikan tiada penghakisan terhadap hak autonomi imigresen negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, keputusan itu membuktikan bahawa suara serta kebimbangan yang dibangkitkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) termasuk keresahan rakyat Sabah didengar dan diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri.
“KPPIS sebelum ini tampil menyuarakan kebimbangan berhubung pelaksanaan AKPS kerana melihat ia berpotensi menghakis kuasa autonomi negeri, selain boleh mengundang kecelaruan serta pertindihan bidang kuasa yang memberi kesan langsung terhadap tugas harian Pegawai Imigresen di pintu-pintu masuk utama Sabah.
“G57 berpandangan tindakan kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan AKPS memperlihatkan bahawa kepimpinan negeri tegas mempertahankan hak Sabah yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Akta Imigresen 1959/63, khususnya dalam aspek kawalan imigresen dan pintu masuk negeri,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Jelasnya, ia juga menunjukkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tidak tunduk dalam perkara yang melibatkan kepentingan serta kedaulatan hak Sabah walaupun melibatkan pelaksanaan dasar di peringkat Persekutuan.
Kongsinya, sebarang dasar atau akta baharu yang dilihat boleh menjejaskan kuasa autonomi imigresen Sabah wajib diperhalusi terlebih dahulu agar hak negeri terus kekal terpelihara seperti yang dipersetujui dalam pembentukan Malaysia.
Tambahnya lagi, G57 percaya pendirian Kerajaan Negeri Sabah selari dengan aspirasi rakyat yang mahu hak istimewa Sabah terus dipertahankan tanpa kompromi.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Yusri Pungut yang juga seorang peguam berkata, Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) dilihat tidak berperlembagaan ketika mengulas kebimbangan yang dibangkitkan oleh KPPIS baru-baru ini.
“Bidang kuasa berkaitan imigresen tidak sewajarnya dijadikan mainan politik oleh mana-mana pihak kerana ia melibatkan isu keluhuran Perlembagaan negara serta kedaulatan wilayah Sabah dalam Malaysia.
“Secara ringkas, apa yang saya nampak Akta 860 itu tidak berperlembagaan kerana ia mengenepikan atau bercanggah dengan prinsip hak eksklusif Sabah yang menjadi nadi kedaulatan negara Malaysia berasaskan MA63 dan semangat Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Menurut Yusri, sekiranya Akta 860 dilaksanakan, tindakan tersebut boleh dianggap ultra vires kerana melangkaui skop kuasa penguatkuasaan seperti yang telah digariskan dalam Akta Imigresen 1959/63 khususnya melibatkan bahagian pengecualian berkaitan peraturan khas kemasukan ke Sabah dan Sarawak yang mempunyai autonomi imigresen tersendiri.
Tambahnya, terdapat bahagian tertentu dalam Akta 860 yang didakwa melenyapkan hak eksklusif kerajaan negeri Sabah di bawah Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63 kerana perkara itu telah dijelaskan Presiden KPPIS dan tersebar luas di media sosial sebelum ini.






