
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah menyambut baik sokongan berterusan kerajaan Jepun terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Sabah melalui sumbangan sebuah van Toyota Hiace mesra kerusi roda kepada Sabah Cheshire Home and Services.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Datuk Julita Majungki berkata, kenderaan khas yang dilengkapi kemudahan tersebut disumbangkan melalui Program Bantuan Geran Projek Keselamatan Manusia Peringkat Akar Umbi (GGP) Jepun.
“Kemudahan tersebut akan meningkatkan mobiliti dan akses penghuni Sabah Cheshire Home and Services di Sandakan.
“Van tersebut akan membantu golongan OKU dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan, program pemulihan, pendidikan serta aktiviti komuniti dengan lebih selamat dan selesa,” katanya ketika Majlis Penyerahan Rasmi Van di Sabah Cheshire Home and Services, di sini pada Khamis.

Menurut Julita, kemudahan di Sandakan sebelum ini menggunakan van yang telah berusia lebih 25 tahun dan amat memerlukan penggantian segera.
“Sumbangan ini bukan sekadar mengenai pengangkutan, tetapi mengenai maruah, kebebasan, dan memastikan setiap individu mempunyai peluang untuk turut serta secara penuh dalam masyarakat.
“Isu aksesibiliti masih menjadi cabaran utama yang dihadapi oleh ramai OKU, khususnya dalam mendapatkan perkhidmatan penting dan penyertaan dalam program komuniti.
“Ini merupakan sumbangan kenderaan yang ketiga daripada Kerajaan Jepun kepada Sabah Cheshire Home and Services, mencerminkan hubungan persahabatan dan kerjasama kemanusiaan yang kukuh antara Sabah dan Jepun,” katanya.
Tambahnya lagi, Kerajaan Sabah kekal komited menyokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan kebajikan melalui kerjasama dengan agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Jepun serta Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu atas sokongan berterusan terhadap inisiatif kebajikan di Sabah.
Sebagai rekod, sumbangan terbaru bernilai kira-kira RM251,890 itu turut dilengkapi sistem lif kerusi roda dan dipercayai merupakan satu-satunya van mesra OKU dengan kemudahan sedemikian yang digunakan di Sandakan ketika ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu, Hisaki Nakasuji; Setiausaha Kedua/Naib Konsul, Sugaya Kyohei; Presiden Sabah Cheshire Home and Services, Lawrence Hee Qui Shing serta Ketua Penolong Setiausaha KWKKR, Lee Chun Kiat.





