
KUCHING – Hubungan sejarah antara Sarawak dan Sambas, Kalimantan Barat bukan suatu rahsia, malah ikatan persaudaraan ini terus diperkukuhkan menerusi perkongsian ilmu, warisan budaya, dan seni bina.
Perkara ini diketengahkan secara mendalam menerusi Seminar Warisan Kesultanan Melayu: Seni Bina Istana Kesultanan Kalimantan Barat yang berlangsung dengan jayanya di Auditorium Borneo Cultures Museum pada Khamis.
Panel penceramah jemputan utama merangkap pewaris Kesultanan Sambas, Pangeran Ratu Dr. Raden Muhammad Tarhan, mendedahkan wujud tali hubungan sejarah yang sangat kuat dan unik antara kedua-dua wilayah ini.
“Tentang sejarah Sarawak dan Sambas, memang ada tali hubungan. Tentunya, ayah itu dari Sarawak dan kemudian anaknya itu menjadi Sultan di Sambas. Jadi hubungan tali antara ayah dengan anak itu mungkin terjalin di sana,” jelas beliau ketika ditemui oleh wartawan The Malaysia Press pada Khamis.

Seminar yang bermula dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 petang ini merupakan inisiatif yang dianjurkan oleh pelajar Tahun 3 Program Pengurusan Seni, di bawah kursus GKP3253 daripada Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Ia diadakan bertujuan untuk memperkasa pemahaman masyarakat terhadap sejarah Kesultanan Kalimantan Barat serta memupuk kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan warisan budaya dan seni bina tradisional Melayu kepada generasi muda.
Menurut pihak penganjur, selain daripada objektif akademik dan sejarah, seminar ini turut menjadi platform praktikal kepada pelajar Unimas untuk mengaplikasikan kemahiran pengurusan acara, komunikasi profesional, dokumentasi, dan kerjasama berpasukan dalam suasana penganjuran program yang sebenar.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila berjaya menghimpunkan lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan Unimas, serta masyarakat setempat yang berminat dengan sejarah Nusantara.
Dalam pada itu, Pangeran Ratu turut melihat Sarawak sebagai satu model yang baik dalam memelihara warisan, memandangkan pembinaan dan penjagaan seni bina di negeri ini dilihat lebih merata.
Beliau berharap agar institusi pendidikan tinggi dari Sarawak dan Kalimantan Barat dapat menjalin kerjasama pada masa hadapan untuk menjalankan penyelidikan bagi merungkai dengan lebih mendalam tentang persamaan identiti orang Melayu di kedua-dua wilayah ini.






