
KOTA KINABALU – Sembilan pakej kerja Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A disasarkan siap pada tahun ini, manakala empat lagi pakej dijangka siap pada tahun 2027.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, antara pakej yang dijadualkan siap pada 2026 ialah Work Package 1, 3, 4, 7, 8, 10, 11, 29 dan 30, manakala empat pakej lain iaitu Work Package 2, 12, 19 dan 28 akan disiapkan pada tahun hadapan.
“Sebelum ini empat pakej telah pun siap antara 2023 hingga 2025 iaitu Work Package 5, 15, 21 dan 27.
“Dengan siapnya pakej-pakej ini secara berperingkat, kebanyakan projek Pan Borneo Sabah Fasa 1A akan menjadi realiti dan memberi manfaat besar kepada rakyat,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.
Tambahnya, projek Pan Borneo Sabah dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030 melibatkan baki pakej yang sedang berjalan termasuk Fasa 1B.
“Dua pakej kerja baharu akan dibuka bagi menghubungkan Putatan dan Menggatal tanpa perlu melalui Kota Kinabalu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Pakej tersebut ialah 6 dan 7 yang akan dibuka sebagai laluan penghubung terus, dijangka siap dan boleh digunakan sekitar Julai atau Ogos ini,” jelasnya.
Sementara itu, dalam perkembangan Fasa 1B, beliau berkata kerja pengalihan utiliti melibatkan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Air dan Telekom Malaysia kini telah dimulakan selepas isu pelantikan subkontraktor diselesaikan.
Tambahnya lagi, pemantauan projek akan diperkasakan melalui mesyuarat Jawatankuasa Pemandu dan koordinasi bersama agensi utiliti yang diadakan setiap bulan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan.






