
PENAMPANG – Tindakan tegas terhadap aktiviti pemilikan hidupan liar tanpa permit terus dipergiat apabila sebanyak 22 ekor burung disyaki spesies murai batu dirampas dalam satu operasi bersepadu di daerah ini, semalam.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, pihaknya memandang serius sebarang aktiviti pemilikan, penyimpanan dan perdagangan hidupan liar tanpa permit kerana ia menyalahi undang-undang serta memberi kesan kepada usaha pemuliharaan spesies dilindungi.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua burung berkenaan disimpan di dalam pelbagai jenis sangkar tanpa sebarang permit atau lesen sah daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah. Turut dirampas ialah dua unit sangkar bersama peralatan berkaitan.
“Seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran.

“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara bersepadu bersama agensi keselamatan bagi memastikan aktiviti seumpama ini dapat dibanteras sepenuhnya,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Operasi Bersepadu Khazanah tersebut dijalankan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman hasil maklumat risikan di sebuah premis perniagaan di daerah Penampang.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak kurang RM30,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Jabatan Hidupan Liar Sabah menggesa orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah hidupan liar supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha melindungi khazanah biodiversiti negeri.





