KEDUDUKAN Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam landskap politik negara disifatkan sebagai mewakili ‘order lama’ yang semakin kurang berkesan dalam menarik sokongan pengundi baharu, kata pemerhati politik Raggie Jessy Rithaudeen.
Beliau berkata, walaupun Muhyiddin mempunyai pengalaman luas dalam politik dan pentadbiran, pendekatan politik lama tidak lagi mencukupi untuk memperkukuh sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
“Muhyiddin ni order lama. Dia mewakili cara politik lama,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan semasa gabungan pembangkang itu.

Menurutnya, realiti politik semasa memperlihatkan pengundi kini lebih kritikal dan terbuka kepada maklumat, sekali gus tidak mudah dipengaruhi pendekatan kempen berasaskan sentimen lama.
“Pengundi sekarang, terutama muda, mereka tak lagi terikat dengan nostalgia politik. Mereka nilai dasar, bukan retorik,” katanya.
Raggie berkata, keadaan dalam PN yang turut melibatkan pengaruh Pas menyebabkan usaha Muhyiddin untuk menampilkan gabungan itu sebagai lebih sederhana berdepan cabaran besar.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun Muhyiddin dilihat lebih berpengalaman berbanding ramai pemimpin lain dalam PN, kekuatan individu tidak lagi mencukupi untuk mengubah persepsi keseluruhan gabungan itu.
“Walaupun dia lebih baik dari segi pengalaman politik, tapi itu saja tak cukup untuk tarik sokongan besar kalau struktur dan imej parti tak berubah,” katanya.
Jelasnya,tanpa perubahan strategi dan pendekatan politik yang lebih segar, PN berisiko terus dilihat sebagai gabungan yang masih bergantung kepada ‘order lama’ menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.



