Pemuda Pas Selangor saran Nik Zawawi bertaubat

PELBAGAI pihak tampil menegur Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, selepas tular video ceramahnya yang dikatakan membawa kisah tidak sahih dan menghina empat sahabat terdekat Nabi Muhammad SAW.

Seorang daripadanya ialah Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, yang membuat teguran dalam satu kenyataan di Facebook.

Melalui hantaran berkenaan Mohamed Sukri turut menyarankan agar bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat itu bertaubat serta memperbetulkan kenyataannya.

Menurut Mohamed Sukri kedudukan para sahabat Rasulullah bukan manusia biasa dalam sejarah Islam.

“Mereka adalah generasi yang dipilih oleh Allah untuk hidup bersama nabi, menerima wahyu secara langsung, mempertahankan Islam dengan darah dan air mata serta memikul amanah dakwah ketika dunia memusuhi kebenaran.

“Merekalah generasi yang meninggalkan rumah, harta, keluarga bahkan nyawa demi Islam.

“Ada yang diseksa di padang pasir, dipulaukan, dibunuh ahli keluarga sendiri, berhijrah meninggalkan tanah air dan berperang mempertahankan akidah,” katanya.

Bagaimanapun dalam hantaran asal, mesej itu dibuat secara umum dan Mohamed Sukri tidak memetik sebarang nama. Beliau bagaimanapun menyebut nama Nik Zawawi secara khusus di ruangan komen sebagai menjawab reaksi pembaca.

“Respons saya ini ke atas ceramah Dr Nik Zawawi. Saya takkan bela sesiapa pun yang mengatasi Nabi SAW dan para sahabat.

“Salah tetap salah, Dr Nik Zawawi perlu bertaubat dan betulkan kenyataan,” kata Sukri lagi.

Sejak semalam tular siri video memaparkan ceramah Nik Zawawi mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah, Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib mempunyai sejarah hidup yang keji sebelum memeluk Islam.

Antara lain Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang ‘bapa ceti’ yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman Jahiliyah. Sayidina Umar pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.

Difahamkan kenyataan itu disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu, pada hujung minggu lalu.

Mohamed Sukri berkata, budaya menghina sahabat nabi atas nama kajian sejarah, kebebasan berfikir atau cakap lepas adalah budaya yang sangat berbahaya.

“Ia bukan sekadar merosakkan adab, bahkan boleh meruntuhkan asas penghormatan terhadap agama itu sendiri. Kerana Islam sampai kepada kita melalui para sahabat (nabi).

“Hakikatnya, membenci para sahabat sering menjadi pintu kepada kebencian terhadap Rasulullah SAW. Orang yang benar-benar mencintai nabi tidak akan sanggup menghina insan yang paling dicintai dan dipercayai oleh baginda,” katanya.

Sementara itu Ketua Wanita Amanah Nasional, Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya memandang serius penyebaran kenyataan dan bahan visual yang menggunakan ungkapan tidak beradab serta tidak berhikmah ketika merujuk kepada empat Khulafa ar-Rasyidin itu.

Jelas Ahli Parlimen Sepang itu, walaupun sejarah kehidupan para sahabat sebelum menerima hidayah Islam boleh dibincangkan dalam kerangka ilmiah dan pengajaran dakwah, penyampaiannya mestilah berpaksikan adab, akhlak, ketepatan fakta dan kebijaksanaan.

“Penggunaan bahasa yang kasar, sensasi dan bersifat menghina bukan sahaja mencemarkan kemuliaan tokoh-tokoh agung Islam, malah membuka ruang fitnah serta salah faham terhadap agama.

“Lebih mendukacitakan apabila kenyataan seperti ini datang daripada seorang pemimpin politik dan agamawan yang pernah memegang kedudukan penting dalam parti yang membawa imej Islam.

“Seorang pemimpin yang bercakap atas nama agama sepatutnya menunjukkan contoh akhlak, kesantunan ilmu dan kebijaksanaan dalam berdakwah, bukannya memilih pendekatan yang mengundang kontroversi, fitnah serta mengelirukan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin berkata, kenyataan Nik Zawawi berkaitan kehidupan Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali ternyata wajar ditegur apabila didapati tidak tepat.

Katanya, walaupun Nik Zawawi ialah tokoh daripada Pas, dia melihat kritikan terhadapnya merentasi sempadan parti politik.

“Bukan sahaja daripada ustaz-ustaz dalam Amanah dan UMNO, bahkan bukan seorang, malah beberapa orang tokoh dan ustaz dalam Pas sendiri yang secara terbuka memberikan teguran.

“Pada saya, ini merupakan satu perkembangan yang baik dan sihat dalam budaya ilmu,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Related Posts

Kerajaan MADANI komited pastikan pembangunan Sabah lebih menyeluruh

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan MADANI komited memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat Sabah terus diberi perhatian melalui pelaksanaan dasar serta bantuan yang lebih berkesan di peringkat…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Khairuddin tegur pemimpin Pas, minta fakta sejarah sahabat Nabi tidak diputar belit

TIMBALAN Pengerusi Ulama UMNO, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali tampil menegur kenyataan berkaitan sejarah para sahabat Nabi Muhammad SAW yang mengelirukan susulan ucapan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sarawak perkasa sektor padi, Kampung Kaba berpotensi jadi jelapang moden

Sarawak perkasa sektor padi, Kampung Kaba berpotensi jadi jelapang moden

Kerajaan MADANI komited pastikan pembangunan Sabah lebih menyeluruh

Kerajaan MADANI komited pastikan pembangunan Sabah lebih menyeluruh

Khairuddin tegur pemimpin Pas, minta fakta sejarah sahabat Nabi tidak diputar belit

Khairuddin tegur pemimpin Pas, minta fakta sejarah sahabat Nabi tidak diputar belit

Amizar kecewa ADUN Bukit Ibam keliru pelaksanaan STR FELDA Pahang

Amizar kecewa ADUN Bukit Ibam keliru pelaksanaan STR FELDA Pahang

Bot bawa 37 PATI Indonesia karam di perairan Pulau Pangkor, operasi SAR dilancar

Bot bawa 37 PATI Indonesia karam di perairan Pulau Pangkor, operasi SAR dilancar

TYT, Hajiji hadir majlis raikan keberangkatan jemaah haji Sabah

TYT, Hajiji hadir majlis raikan keberangkatan jemaah haji Sabah